Mas Ermieyati tegur Adun Bersatu tampal stiker anjing pada muka exco Melaka

Mas Ermieyati tegur Adun Bersatu tampal stiker anjing pada muka exco Melaka

Ahli Parlimen Masjid Tanah kata tindakan Adun Sungai Udang Dr Mohd Aleef Yusof sebagai tidak beradab.

Mas Ermieyati Samsudin berkata tindakan Dr Mohd Aleef Yusof tidak mencerminkan adab sebagai orang Islam dan Melayu.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin menegur Adun Sungai Udang Dr Mohd Aleef Yusof kerana memuat naik gambar seorang exco Melaka dengan wajahnya ditampal stiker anjing.

Mas Ermieyati berkata tindakan Adun Bersatu itu tidak mencerminkan adab sebagai seorang Islam dan berbangsa Melayu, lebih-lebih lagi beliau seorang wakil rakyat.

“Dalam banyak-banyak stiker, kenapa stiker itu juga yang jadi pilihan kamu. Ini satu tindakan yang tidak mencerminkan adab kita, sebagai orang Islam dan Melayu.

“Lagi-lagi adab (kamu) sebagai seorang wakil rakyat,” tulisnya di Facebook.

Dr Mohd Aleef Yusof memuat naik gambar Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka Abdul Razak Abdul Rahman dengan wajahnya ditampal stiker anjing di Facebook. (Gambar Facebook)

Terdahulu, Aleef dalam hantaran Facebooknya memuat naik gambar Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka Abdul Razak Abdul Rahman dengan wajahnya ditampal stiker anjing susulan kekecohan yang berlaku di sidang DUN semalam.

Aleef berkata Razak yang juga Adun Telok Mas gagal menjawab soalan tambahan berhubung status operasi semula projek ‘floating market’ yang didakwa ditutup selama setahun.

Menurut Aleef, soalan yang diajukan adalah ringkas, iaitu mengenai bila projek berkenaan akan kembali beroperasi, tetapi Razak memberikan jawapan yang tidak menjurus kepada isu dibangkitkan.

Aleef turut menyindir tindakan Razak yang merakam dan memuat naik video kekecohan di sidang DUN itu di media sosial.

Sementara itu, dalam hantaran di TikTok tersebut, Razak yang juga Adun Telok Mas mendakwa telah menjawab soalan yang diajukan Aleef.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.