PM yang merancang lebih baik berbanding menyerang lawan, Anwar diberitahu

PM yang merancang lebih baik berbanding menyerang lawan, Anwar diberitahu

Mencetuskan ilham dan memberikan hala tuju ekonomi lebih bermanfaat bagi Anwar Ibrahim, berbanding menyerang pesaing politik, kata Shahril Hamdan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim kelihatan tidak henti-henti melancarkan serangan yang terselindung terhadap pesaing politiknya, menurut Shahril Hamdan.
PETALING JAYA:
Menumpukan kepada rancangan untuk negara sambil meredakan serangan terhadap pesaing politik akan lebih bermanfaat buat Perdana Menteri Anwar Ibrahim, saran Shahril Hamdan.

Bekas ketua penerangan Umno itu berkata, Anwar kelihatan tidak henti-henti melancarkan serangan yang terselindung terhadap pesaing politik, yang menggambarkan mereka sebagai “mewah, korup, dan berkonspirasi”.

Shahril bagaimanapun akui pendekatan Anwar itu munasabah memandangkan Perikatan Nasional (PN) mengembar-gemburkan slogan “bersih” untuk menawan hati pengundi Melayu semasa PRU lalu.

“Masalah bagi Anwar adalah rakyat yang tidak mahu percaya,” katanya dalam ulasan yang diterbitkan oleh Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS) di Singapura.

“PN dengan mudah dapat menggambarkan serangan itu sebagai bermotif politik, memandangkan Anwar bersekutu dengan Presiden Umno Zahid Hamidi, yang menghadapi pertuduhan mahkamah dan menjadi lambang kepada imej Umno yang bermasalah dalam kalangan orang Melayu.

“Mungkin lebih bermanfaat buat Anwar ialah peranan yang sebenarnya amat sesuai untuknya: Mencetuskan ilham, dan memberikan hala tuju ekonomi, bagi negara yang ingin pulih.

“Beliau mungkin terpaksa mengambil sedikit risiko berkenaan dasar, seperti reformasi subsidi. Tetapi, seperti yang ditunjukkan oleh PRN baru-baru ini, mungkin lebih bermanfaat buat Anwar sekiranya beliau menjadi perdana menteri yang merancang berbanding ahli politik yang mempunyai pertikaian.”

Shahril berkata, Anwar akan perlu membuat beberapa keputusan yang sukar agar ekonomi boleh diurus dengan baik.

Perdana menteri juga mungkin perlu merombak Jemaah Menteri dan mengagihkan lebih banyak tugas kepada anggotanya.

“Beliau mungkin mahu dengar buah fikiran golongan lebih muda, yang idea mereka mungkin agak asing bagi para penasihat beliau yang lebih berusia.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.