
Beliau turut menjunjung kasih atas kesudian Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan mencemar duli mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-70 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Anwar yang juga timbalan pengerusi majlis itu berkata, mesyuarat MKI berkenaan jelas menzahirkan keprihatinan Tuanku terhadap pengurusan hal ehwal Islam di negara ini.
“Patik dan seluruh jentera kerajaan perpaduan khususnya agensi Islam menjunjung duli dan beriltizam untuk memastikan tadbir urus hal ehwal Islam dilaksanakan dengan sebaik-baiknya seperti mana yang dihasratkan oleh Majlis Raja-raja.
“Patik meyakini dengan perkenan dan restu Duli-Duli Tuanku jua, usaha memperkukuhkan institusi pengurusan hal ehwal Islam di peringkat persekutuan dan negeri-negeri dapat dilaksanakan secara bersepadu dan berkesan,” katanya dalam kenyataan.
Anwar turut merakamkan sekalung penghargaan kepada ahli MKI dan wakil negeri yang hadir pada mesyuarat itu.