Lebih 3,000 mohon inisiatif kemudahan rakyat, kata menteri

Lebih 3,000 mohon inisiatif kemudahan rakyat, kata menteri

Rafizi Ramli berkata Sabah mencatatkan jumlah permohonan tertinggi iaitu 909 projek, diikuti Negeri Sembilan sebanyak 559 projek dan Sarawak sebanyak 268 projek.

Rakyat boleh memohon terus projek infrastruktur kecil awam daripada kerajaan dengan kos maksimum RM200,000.  (Gambar PDRM)
PUTRAJAYA:
Kementerian Ekonomi menerima 3,398 permohonan setakat 25 Ogos lalu bagi projek Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) untuk membantu rakyat melalui penambahbaikan infrastruktur kecil awam sejak program itu dilancarkan Jun lepas.

Menterinya, Rafizi Ramli berkata daripada jumlah itu, 1,491 permohonan diterima dari pihak individu, 989 dari organisasi bukan kerajaan dan 918 permohonan diterima dari organisasi kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata Sabah mencatatkan jumlah permohonan paling tinggi iaitu sebanyak 909 projek, diikuti Negeri Sembilan (559) dan Sarawak (268).

“Daripada 3,398 permohonan, 1,385 projek telah diluluskan manakala 245 permohonan ditolak kerana tidak memenuhi justifikasi dan syarat permohonan di bawah IKR.

“Senarai permohonan projek yang diluluskan telah dikemukakan kepada PBT atau agensi pelaksana yang berkenaan untuk semakan sebelum penyaluran dana dibuat,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata antara projek di bawah IKR yang diluluskan ialah baik pulih jalan sebanyak 366 projek; baik pulih parit atau longkang (126 projek); baik pulih surau atau masjid (91 projek); bina baharu dan baik pulih tandas awam (25 projek); dan bina baharu hentian bas sebanyak sembilan projek.

Rafizi berkata orang ramai masih boleh memohon bantuan projek-projek infrastruktur awam kecil melalui laman web IKR di alamat ikr.ekonomi.gov.my.

Beliau berkata IKR membolehkan rakyat memohon secara terus mengenai keperluan projek infrastruktur kecil awam di kawasan masing-masing dengan kos projek tidak melebihi RM200,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.