Anwar terpaksa ‘jawab’ serangan fitnah berterusan PN, kata Ahli Parlimen

Anwar terpaksa ‘jawab’ serangan fitnah berterusan PN, kata Ahli Parlimen

Hassan Karim berkata Anwar tidak boleh sentiasa berdiam diri terhadap tuduhan ke atasnya.

Hassan Karim berkata Shahril Hamdan perlu bersikap adil kepada Anwar yang berdepan serangan bertubi-tubi oleh pemimpin Perikatan Nasional (PN).
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen PKR mempertahankan kritikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim terhadap Perikatan Nasional (PN) yang dibuat untuk menjawab fitnah pemimpin pembangkang.

Bercakap kepada FMT, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata Anwar tidak boleh berdiam diri kerana tuduhan tanpa asas berisiko dipercayai rakyat jika tiada sebarang penjelasan.

“Jadi beliau perlu memberi reaksi (terhadap tuduhan PN),” katanya mengulas gesaan bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan supaya Anwar “meredakan” serangan terhadap lawannya, sebaliknya fokus perancangan negara.

Shahril dalam ulasan diterbitkan Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS) di Singapura dipetik berkata lebih bermanfaat sekiranya Anwar menumpukan kepada rancangan untuk negara.

Beliau mendakwa perdana menteri kelihatan tidak henti-henti melancarkan serangan terselindung terhadap pesaing politik, yang menggambarkan mereka sebagai “mewah, korup, dan berkonspirasi”.

Katanya, Shahril juga perlu bersikap adil kepada Anwar yang berdepan serangan tidak objektif secara bertubi-tubi oleh pemimpin PN sejak beliau memimpin negara.

Hassan berkata, di sebalik tindakan Anwar membalas kembali kritikan terhadapnya, beliau yang juga menteri kewangan tetap menjadikan usaha pemulihan ekonomi sebagai keutamaan.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Bangi dari DAP, Ong Kian Ming berkata pendekatan Anwar boleh difahami memandangkan PN enggan mengiktiraf keabsahan kepimpinannya dari awal lagi, walaupun telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, Anwar kini dalam kedudukan baik dari segi politik dan ekonomi untuk menyampaikan naratif pemerintahan pentadbirannya, susulan PRN bulan lalu.

Beliau berkata, kerajaan perpaduan juga dijangka kekal stabil dalam tempoh empat tahun dan Anwar wajar mengambil kesempatan terhadap peningkatan pelaburan langsung asing, yang akan berterusan disebabkan ketegangan berterusan antara Amerika Syarikat dan China.

Ong yang juga bekas timbalan menteri turut menasihatkan Anwar fokus terhadap pembaharuan politik dan meyakinkan penyokong Pakatan Harapan bahawa gabungan itu kekal dalam perjuangannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.