
Ketika menjawab soalan dalam syarahan umum bertajuk ‘Power Shift: Strategic Choices for Malaysia and Turkey’ di sini hari ini, Anwar berkata, dasar luar Malaysia mencerminkan komitmen berpanjangan negara terhadap keadilan dan kedaulatan undang-undang.
Beliau menyatakan bahawa pendirian Malaysia dipacu oleh sejarah penentangan terhadap kolonialisme serta sokongan terhadap hak kedaulatan.
“(Malaysia) tidak ambil pendirian hanya kerana kami sekutu atau sebaliknya, tetapi atas dasar pendirian yang konsisten,” katanya ketika ditanya mengenai pendirian Malaysia sekiranya berlaku konflik pada 2026 dan tahun-tahun mendatang.
“Kita telah berjuang, dan negara-negara di seluruh dunia juga telah bergelut menentang penjajahan, sama ada (oleh) British, Amerika (Syarikat), Perancis, mahupun Libya,” katanya menegaskan bahawa pengalaman sedemikian membentuk pandangan diplomatik Malaysia.
Dalam konteks ini, beliau merujuk kepada respons Malaysia terhadap tindakan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di Venezuela baru-baru ini.
Pemimpin dan pegawai Malaysia telah mengkritik tangkapan paksa Presiden Venezuela Nicolas Maduro sebagai pencabulan undang-undang antarabangsa yang boleh menjadi duluan berbahaya bagi kedaulatan negara-negara kecil.
Anwar menegaskan, pendirian Malaysia tidak berasaskan agama, kaum mahupun geografi, sebaliknya berlandaskan usaha menegakkan norma antarabangsa dan mempertahankan hak negara-negara berdaulat.
“Venezuela bukanlah negara Arab mahupun negara Islam, bukan negara Asia, apatah lagi negara Melayu. Namun, kita tetap ambil pendirian,” katanya.
Dalam syarahan tersebut, Anwar menekankan bahawa dunia sedang mengalami peralihan kuasa global yang besar, lalu menyeru Malaysia dan Turki agar tampil sebagai suara pengimbang terhadap hipokrasi kuasa-kuasa besar.
Beliau menyifatkan langkah ini amat penting, terutamanya memandangkan berlakunya penindasan yang berterusan di Gaza serta konflik di Venezuela.
“Negara-negara membangun harus sedar bahawa masa depan mereka tidak semestinya bergantung kepada mana-mana satu kuasa besar sahaja,” katanya.
Terdahulu, Anwar meletakkan kalungan bunga di Anıtkabir, makam Mustafa Kemal Atatürk, pengasas dan presiden pertama Turki moden yang terkenal dengan peranannya mentransformasikan negara itu menjadi sebuah republik sekular dan nasionalis.
Sejurus selepas upacara tersebut, beliau mengadakan pertemuan dengan para pegawai daripada industri pertahanan.
Anwar yang juga menteri kewangan kini dalam rangka lawatan rasmi ke Turki dari 6 Jan hingga esok, atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan.
Beliau diiringi oleh isteri, Dr Wan Azizah Ismail; Menteri Luar Mohamad Hasan; Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Ghani; serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Lawatan ini bertujuan memperkukuh hubungan perdagangan, pelaburan, pelancongan, kerjasama strategik, serta hubungan diplomatik antara Malaysia dan Turki.