Jangan terpesong isu politik, Loke beritahu rakan parti kerajaan

Jangan terpesong isu politik, Loke beritahu rakan parti kerajaan

Setiausaha agung DAP berkata perkara biasa jika ada perbezaan pendapat antara parti kerajaan perpaduan namun tidak bergaduh.

Loke Siew Fook berkata walaupun berbeza pendapat namun parti dalam kerajaan tidak bergaduh.
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook meminta semua pihak tidak terpesong dengan pelbagai “andaian politik” sehingga menjejaskan agenda pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Menyifatkan perbezaan pendapat sebagai perkara lumrah dalam hubungan politik, menteri pengangkutan itu bagaimanapun berkata ia tidak sampai ke peringkat “tidak sebulu”, dipercayai merujuk kepada hubungan parti itu bersama Umno dalam kerajaan perpaduan.

“Kita kadang kala jangan terpesong dengan isu politik, yang penting kita fokus kepada pembangunan negara.

“Dalam apa-apa hubungan politik kadang-kala ada isu timbul ada perbezaan pendapat itu perkara biasa jadi tak apa lah, perbezaan pendapat itu tak menjadi masalah.. (tetapi) kita taklah sampai gaduh,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) pembinaan Kluang Heritage Railway Linear Park di Kluang.

Minggu lalu, ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Nur Jazlan Mohamed meminta DAP menggugurkan slogan “Malaysia Malaysian” daripada perlembagaan partinya sekiranya mahu mendapat sokongan orang Melayu.

Bagaimanapun, Loke berkata DAP tidak perlu menggugurkan agenda negara sekular dan slogan berkenaan kerana persefahaman sudah dicapai antara parti gabungan sebelum terbentuknya kerajaan perpaduan.

Mengenai PRK Simpang Jeram dan Pulai pada Sabtu ini, beliau berkata Kementerian Pengangkutan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat telah meluluskan lesen operasi sementara bas bagi menambah perjalanan ulang-alik laluan darat antara Malaysia dan Singapura.

Katanya, ia bertujuan mengurangkan kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) memandangkan jangkaan trafik luar biasa berikutan hari cuti sekolah di negara tersebut.

“Jumlah bas yang terlibat bergantung kepada permintaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.