Pengundi PH ‘kalih’ jika ‘garis merah’ tak dipeduli, kata penganalisis

Pengundi PH ‘kalih’ jika ‘garis merah’ tak dipeduli, kata penganalisis

Azmil Tayeb berkata penyokong PH yang hilang kepercayaan mungkin beralih kepada Muda pada PRU16 selepas DNAA Zahid Hamidi.

Muda mempertimbangkan menarik balik sokongannya untuk kerajaan perpaduan yang dilihat gagal menunaikan janji menghapuskan rasuah.
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis memberi amaran penyokong Pakatan Harapan mungkin tidak mengundi pada PRU16 atau mengalihkan sokongan kepada Muda jika gabungan itu terus membiarkan kerajaan perpaduan “melanggar garis merah”.

Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia, berkata pengundi berkemungkinan hilang kepercayaan akibat kegagalan PH menunaikan pembaharuan dijanjikan.

Katanya, kes Presiden Umno Zahid Hamidi yang dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) pada Isnin menjadi satu lagi contoh kegagalan PH menunaikan janji kepada pengundi menjelang PRU15 pada November tahun lalu.

Akibatnya, Azmil percaya penyokong PH mungkin beralih kepada Muda pada PRU16 kerana tahu pendirian parti itu terhadap rasuah.

“Ia akan menjadi undi protes dan mengikut gerak hati nurani. Lazimnya pengundi memilih secara strategik untuk parti yang paling berkemungkinan besar akan menang,” katanya kepada FMT.

“Tapi saya rasa disebabkan mereka (penyokong PH) tidak melihat sebarang beza antara parti-parti utama, mereka akan mengundi parti ketiga. Dalam kes ini, Muda akan meraih untung daripada penyokong yang telah hilang kepercayaan itu.”

Azmil mengulas pengumuman Muda bahawa parti itu mempertimbangkan semula kedudukannya dalam kerajaan perpaduan selepas “garis merah dilanggar” akibat DNAA terhadap Zahid dalam kes Yayasan Akalbudi.

Sementara itu, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkata kerajaan bertanggungjawab memastikan ahli politik dalam gabungan perpaduan itu tidak “mengelak” pendakwaan.

“Jika parti atau organisasi tidak bersetuju dengan hasil ini, suarakan sajalah,” katanya kepada FMT dengan menegaskan tiada keperluan untuk menetapkan “garis merah”.

Katanya, walaupun DNAA Zahid tidak menjejaskan kestabilan kerajaan, ia mungkin menjejaskan kemampuan gabungan perpaduan menang untuk penggal kedua.

Seorang lagi penganalisis, Tunku Mohar Mokthar dari UIAM berkata, kegagalan PH dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mematuhi “garis merah” itu akan membawa kepada hilang kepercayaan terhadap pemerintahan.

Beliau berkata, memudaratkan jika parti lain dalam kerajaan perpaduan turut mengikut tindakan itu. Bagaimanapun, Syaza percaya penarikan Muda tidak akan memberi kesan teruk terhadap kerajaan.

Sebelum ini, Muda tidak akan teragak-agak menilai kedudukan parti itu dalam kerajaan. Parti itu juga menggesa peguam negara menjelaskan keputusan memohon DNAA, selain pemisahan peranan peguam negara dan pendakwa raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.