
Ketuanya Noor Azleen Ambros berkata, sokongan kepada calon PH di Simpang Jeram amat penting demi kestabilan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi.
“Bagi akar umbi Umno, selama puluhan tahun dan melalui pelbagai episod pilihan raya, mereka tidak pernah mengenal apatah lagi memangkah selain ‘logo dacing’ pada kertas undi.
“Namun, untuk PRK di Simpang Jeram, kita semua terpaksa melihat gambaran lebih besar,” katanya dalam kenyataan.
Azleen berkata, akar umbi Umno dan orang Melayu perlu mempertimbangkan segala usaha dan pencapaian Onn Hafiz selama hampir dua tahun ini.
Beliau berkata, Onn Hafiz mempunyai wawasan dan cita-cita besar untuk bangsanya.
“Impian untuk membina negeri dan bangsa kelas pertama, masyarakat yang makmur, bersatu-padu dan sejahtera.
“Kalau sukar bagi orang Melayu percaya kepada PH, kita faham dan mengerti. Kalau itu terlalu sukar, setidak-tidaknya percayalah kepada Onn Hafiz,” katanya.
PRK Simpang Jeram menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon PH, Nazri Abdul Rahman dengan Perikatan Nasional (PN), Dr Mohd Mazri Yahya dan S Jeganathan (bebas).
Ia diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian Salahuddin Ayub yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup pada 23 Julai lalu.