
Timbalan ketua Bersatu Pulai berkata, kekalahan itu juga bukan penamat karier politiknya, sebaliknya bakal menjadi jalan untuk menuju kejayaan pada masa akan datang.
“Keputusan dah keluar, walaupun kita kalah tapi bermaruah, peningkatan undi itu ada. Pada saya kekalahan itu perjalanan menuju kejayaan. ‘It’s okay…tidak ada masalah,” katanya ketika berucap kepada jentera yang hadir di Bilik Gerakan Utama (BGU) PN di Perling.
Zulkifli tewas kepada calon PH Suhaizan Kayat dengan majoriti 18,641 undi.
Beliau memperoleh 29,642 undi berbanding Suhaizan (48,283) dan calon bebas Samsudin Mohamad Fauzi (528).
Sementara itu, dalam sidang media, Zulkifli berkata beliau akan tetap memberikan khidmat kepada rakyat atas platform badan bukan kerajaan (NGO), walaupun gagal menjadi wakil rakyat.
Katanya, kekalahan itu juga amat membanggakan kerana berusaha sebaik mungkin menentang Suhaizan, yang memenangi kerusi berkenaan.
“Seperti kita tahu sebelum ini perbezaan undi sangat jauh, kali ini beza dalam belas ribu undi, kita dah mencuba sebaik mungkin, saya kalah pun berlawan bukan kata kita kalah macam itu sahaja. Keputusan malam ini sangat membanggakan.
“Insya-Allah kita pejuang. Kita duduk dalam parti politik hati kena cekal. Kekalahan bukan bermaksud jalan penyudah kita akan bekerja lebih keras lagi.
“Saya masih lagi akan bergerak dengan NGO. NGO membantu orang tetapi platform tak berapa tinggi, bila pergi wakil rakyat banyak platform bertambah boleh bantu orang,” katanya.
PRK Parlimen Pulai diadakan susulan kematian penyandang, Salahuddin Ayub yang juga timbalan presiden Amanah pada 23 Julai lalu.
Pada PRU15 Salahuddin daripada PH memperoleh majoriti 33,174 undi.