KKM perlu lebih ramai jururawat penjagaan warga emas

KKM perlu lebih ramai jururawat penjagaan warga emas

Keperluan itu sejajar situasi negara sekarang yang mencatatkan peningkatan populasi warga emas dan memerlukan perhatian.

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata perkhidmatan khas khusus kepada warga emas memang sangat diperlukan. (Gambar Bernama)
KOTA SAMARAHAN:
Kementerian Kesihatan (KKM) memerlukan lebih ramai jururawat bidang gerontologi atau mengkhusus dalam bidang penjagaan warga emas, kata Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni.

Beliau berkata, keperluan itu sejajar situasi negara sekarang yang mencatatkan peningkatan populasi warga emas dan memerlukan perhatian.

“Perkhidmatan khas khusus kepada warga emas memang sangat diperlukan. Bidang ini bukannya terhad kepada doktor pakar sahaja, jururawat juga sangat diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Konvokesyen Institut Latihan KKM (ILKKM) 2023 Zon Sarawak.

Beliau berkata, banyak pusat kesihatan bawah KKM juga telah memohon bagi penambahan jururawat yang mengkhusus kepada penjagaan kecemasan dan rawatan rapi.

Menurutnya, seramai 310 orang jururawat rawatan rapi, jururawat gerontologi (48 orang) dan jururawat primer (51 orang) sedang menjalani latihan di 19 ILKKM seluruh negara termasuk tiga buah di Sarawak.

Mengenai konvokesyen dihadirinya, Lukanisman berkata seramai 1,195 graduan menerima diploma masing-masing pada istiadat itu hari ini dan mereka merupakan sebahagian dari 8,643 petugas KKM yang berjaya menamatkan latihan pengkhususan seperti dalam kejururawatan, kesihatan primer, pergigian dan farmasi.

Beliau berkata, selepas ini konvokesyen terbabit akan diadakan bagi Zon Sabah di Dewan Canselor Sabah pada 23 Sept dan Zon Semenanjung Malaysia di Dewan Seri Perdana ILKKM Sultan Azlan Shah, Perak pada 24 Okt.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.