
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata jika inisiatif tersebut dapat dilaksanakan dengan baik, pihaknya akan memperluas usaha itu terhadap perkhidmatan tren di laluan lain.
Beliau berkata, pengenalan inisiatif itu berikutan peningkatan kes gangguan seksual dalam mod pengangkutan tersebut.
“Kita akan sesuaikan dahulu (percubaan ini) supaya penumpang tahu ada koc khas untuk wanita di setiap platform stesen MRT dengan dimulakan bagi laluan Kajang. Pihak Prasarana (Prasarana Malaysia Berhad) juga telah membuat persiapan bagi tujuan itu.
“Isunya (memperkenalkan koc wanita itu) adalah apabila kita melihat berlaku peningkatan dari segi gangguan seksual dalam kereta api. Apabila tiba waktu puncak, mereka (wanita) terpaksa berhimpit dan kadangkala berlaku sentuhan fizikal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Kebangsaan Wanita DAP.
Menurut Loke, setiap koc itu mampu memuatkan lebih 100 wanita pada satu-satu masa.
Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Pengangkutan akan memperkenalkan sebuah koc wanita bagi MRT laluan Kajang demi keselesaan dan keselamatan penumpang golongan itu.
Pada 28 April 2010, Keretapi Tanah Melayu Berhad memperkenalkan koc wanita yang menggunakan warna merah jambu untuk menarik perhatian penumpang wanita yang merangkumi 60% pengguna.