Himpunan pilih Kampung Baru sengaja bikin ‘panas, kecoh’

Himpunan pilih Kampung Baru sengaja bikin ‘panas, kecoh’

Ahli MKT Umno itu berkata lebih baik polis benar himpunan bantah 'DNAA Zahid' berlangsung di Padang Merbok atau Stadium Titiwangsa.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi, berkata pemilihan Kampung Baru sebagai lokasi demi memastikan Perikatan Nasional tidak ‘syok sendiri’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemilihan Kampung Baru, Kuala Lumpur sebagai lokasi Himpunan Aman Selamatkan Malaysia, esok, sengaja dibuat bagi memastikan ia berlangsung “panas dan kecoh”, dakwa Puad Zarkashi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu, berkata himpunan di kawasan itu yang didalangi Perikatan Nasional (PN) demi mengelak demonstrasi tersebut sekadar berlangsung “syok sendiri”.

“Tetapi, PN mahu demo yang panas dan kecoh. Sebab itu mesti buat di Kampung Baru. PN tidak mahu demonstrasi syok sendiri. PN sebenarnya mahu konflik terus berlaku.

“Mereka tidak mahu kerajaan stabil agar kerajaan tebuk atap akan berulang,” katanya di Facebook.

Semalam, polis menolak notis pemakluman himpunan “Selamatkan Malaysia” kerana maklumat dikemukakan penganjur tidak lengkap dan tidak menepati syarat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Shuhaily Mohd Zain, berkata antara butiran penting tidak dilengkapkan adalah seperti nama penganjur perhimpunan serta lokasi tempat berhimpun.

Himpunan itu dianjurkan oleh Sekretariat Gerakan Selamatkan Malaysia yang dibentuk menggabungkan parti politik, NGO, dan individu “dalam usaha mengembalikan semula integriti dan maruah negara yang tercalar akibat pengguguran kes rasuah Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi”, menurut kenyataannya semalam.

Puad ketika mengulas lanjut, berkata langkah untuk meneruskan demonstrasi sudah dijangka mengambil kira kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang menggambarkan isu Zahid Hamidi dilepas tanpa bebas (DNAA) sebagai “bola tanggung”.

Walaupun menjadi antara “penyokong kuat” Zahid, namun Puad berpandangan elok bagi polis membenarkan himpunan itu berlangsung di Padang Merbok atau Stadium Titiwangsa.

“Biar PN buat di tempat yang tidak ganggu lalu lintas dan orang awam,” katanya.

Semalam, memetik Sinar Harian Tuan Ibrahim dipetik sebagai berkata: “Siapa yang tidak ambil peluang ini (isu DNAA) kira paling rugi kerana ini bola tanggung. Bagi saya apa-apa isu yang menyebabkan kepentingan negara dan awam, akan dibawa (dalam kempen) dan saya yakin kerajaan tahu.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata demikian ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.