
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata tanggungjawab hakiki pembangkang adalah bertindak sebagai semak dan imbang kepada Putrajaya. Bagaimanapun, beliau tidak melihat Perikatan Nasional (PN) memainkan peranan itu ketika ini.
“Mereka hanya mengkritik, bukan untuk kebaikan rakyat atau kesejahteraan negara. Mereka merungut berkait perkara politik untuk kepentingan parti mereka sahaja.
“Pembangkang sangat kurang berbicara (berkait perkara dasar), dan ini tanpa itu (CSA). Saya takut dengan, tanpa itu (CSA), mereka semakin menjadi pembangkang membisu.
“Saya tidak melihat apa jua alasan untuk kerajaan menandatangani (CSA) dengan pembangkang kerana mereka tidak buat kerja,” katanya kepada FMT.
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, bersetuju Putrajaya sepatutnya tidak melayan gesaan melakukan CSA dengan PN.
Gesaan itu dibuat oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang menyeru kerajaan dan pembangkang memeterai CSA untuk mencari kesepakatan, tumpuan kepada peningkatan ekonomi dan menyengerakan agenda reformasi.
Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir juga mencadangkan Pakatan Harapan (PH) “menolak” Umno keluar daripada kerajaan dan menandatangani CSA dengan PN atau memasukkan gabungan pembangkang dalam pentadbiran kerajaan persekutuan kerana parti itu mewakili Melayu.
Bagaimanapun, Oh menolak cadangan Mukhriz itu sambil menyatakan cadangan sedemikian tidak akan berjaya.
“DAP dan mungkin juga Amanah tidak mahu berada dalam gabungan sama – menjadi pemerintah bersama PAS yang radikal, yang sebelum ini menjadi parti Islam yang lebih sederhana,” katanya.
Dalam pada itu, Azmi berkata PN sebenarnya boleh membentuk kerajaan perpaduan yang disaran Agong pada November, tanpa perlu memaksa menolak Umno keluar.
Katanya, seperti juga PN, PH sebelum ini juga pernah menjadi musuh ketat Umno, namun kini menjadi sekutu utama.
“Ketika ini, saya tak lihat apa jua alasan bagi Barisan Nasional menarik diri daripada kerajaan walaupun Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Isham Jalil cadang sebaliknya.
“Jika Umno tarik sokongan dan bergerak solo, ujian selepas itu pada PRK Pelangai pada 7 Okt. Umno mungkin berdepan masalah besar di Pelangai tanpa bantuan PH.”