
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim terdiri Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat serta Hakim Mahkamah Persekutuan Harmindar Singh Dhaliwal dan Abu Bakar Jais.
Panel tersebut mengesahkan sabitan Bukhti Shukran Abdul Rahman, 38, kerana mengedar dadar.
Dalam keputusan itu Tengku Maimun bagaimanapun berkata, susulan pindaan terkini Akta Dadah Berbahaya 1952, mereka menggunakan budi bicara untuk menggantikan hukuman mati dengan penjara seumur umur.
Beliau turut mengarahkan Bukhti dikenakan 12 sebatan.
Pada 16 Ogos 2019, Mahkamah Tinggi Shah Alam mensabitkan dan menjatuhkan hukuman mati terhadap Bukhti dan dua mekanik kerana mengedar dadah di tempat letak kereta Aeon Big di Bukit Rimau, Shah Alam, Selangor, kira-kira 6.20 petang pada 7 Ogos 2017.
Mahkamah Rayuan, pada 28 Feb tahun lalu mengekalkan sabitan hukuman mati Bukhti atas pertuduhan itu, tetapi melepas dan membebaskan Saiful Adly Zakaria, 41 dan Azrul Alias, 37.
Pihak pendakwaan tidak merayu terhadap pembebasan kedua-dua lelaki itu.
Mengikut fakta kes, Bukhti memandu keretanya dari Telok Panglima Garang di Kuala Selangor ke sebuah bengkel di Bandar Sunway untuk membaiki keretanya.
Dalam keterangannya, Bukhti berkata dia ke Aeon Big untuk bertemu seorang dikenali sebagai “Boy” untuk mengambil alat ganti keretanya.
Ketiga-tiga lelaki pergi ke tempat itu dengan kereta dipandu Bukhti dan sebaik tiba, sepasukan polis menggeledah kereta berkenaan dan menemukan sebuah kotak berisi dadah tersebut di tempat duduk penumpang belakang.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan Fahmi Abdul Moin mewakili ketiga-tiga lelaki itu, manakala Timbalan Pendakwa Raya How May Ling mewakili pendakwaan.