Tinggalkan PN, Puad jemput PAS perkasa Islam dalam kerajaan

Tinggalkan PN, Puad jemput PAS perkasa Islam dalam kerajaan

Puad Zarkashi berkata PAS tidak wajar membuang masa 'menebuk atap', mengeluarkan pelbagai fatwa memecahbelahkan orang Melayu.

Puad Zarkashi berkata lebih baik PAS membangunkan negara dan menjayakan agenda Islam dalam kerajaan perpaduan.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno mencadangkan PAS meninggalkan Perikatan Nasional (PN) untuk bersama kerajaan perpaduan bagi memperkasa Islam.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Puad Zarkashi berkata PAS tidak wajar membuang masa “menebuk atap” dan menghukum orang lain dengan mengeluarkan pelbagai fatwa memecahbelahkan orang Melayu.

“PAS sepatutnya ‘moving forward’. Tinggalkan PN dan sertai kerajaan perpaduan. Berkongsi kuasa dan jadi pengimbang dalam kerajaan.

Puad Zarkashi.

“Lebih baik duduk dalam kerajaan menstabilkan politik, membangun negara, menjayakan agenda Islam, Melayu, dan kesaksamaan rakyat,” katanya di Facebook.

Puad membalas kenyataan bekas setiausaha agung Umno Annuar Musa yang kini menyertai PAS bahawa parti orang Melayu itu sudah tidak lagi relevan kerana rakyat masih mengekalkan sentimen ‘No Anwar, No DAP,’ dan kini ‘No Umno’ susulan keputusan PRN bulan lalu.

Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu turut mengajak ahli Umno menyertai PAS jika mahu meneruskan perjuangan agenda Melayu.

“Perjuangan apa? Apa pencapaian Annuar bila sudah masuk PAS?,” kata Puad.

Selepas PRU15, Umno menjadi sebahagian daripada anggota kerajaan perpaduan diketuai Anwar Ibrahim manakala PAS yang bersama Perikatan Nasional (PN) menolak cadangan dibuat Yang di-Pertuan Agong.

Penubuhan kerajaan perpaduan dicadangkan susulan situasi parlimen tergantung apabila tiada gabungan mendapat majoriti mudah untuk membentuk pentadbiran selepas pilihan raya umum November lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.