Pemilik syarikat kecantikan didakwa palsu Penjana Kerjaya

Pemilik syarikat kecantikan didakwa palsu Penjana Kerjaya

Mona Liza Ahmad didakwa mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif berjumlah RM120,060 di bawah Program Penjana Kerjaya untuk 30 orang pekerja.

Pemilik syarikat kecantikan Mona Liza Ahmad mengaku tak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tujuh tuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif Penjana Kerjaya lebih RM120,000. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang pemilik syarikat kecantikan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tujuh pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif berjumlah lebih RM120,000 di bawah Program Penjana Kerjaya, dua tahun lepas.

Mona Liza Ahmad, 38, didakwa mengemukakan tujuh dokumen mengandungi butiran palsu iaitu borang pengesahan pekerja atas nama Syarikat Nona Chantique Empire miliknya bagi menuntut insentif berjumlah RM120,060 di bawah Program Penjana Kerjaya untuk 30 orang pekerja.

Tertuduh mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu iaitu “nama pekerja baharu” kepada dua pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Nursofieyana Muhammad Zamri dan Mira Sabriena Romain dengan niat untuk memperdaya Perkeso di Wisma Perkeso, Jalan Tun Razak pada 31 Mei 2021.

Dalam dokumen “nama-nama pekerja baharu” seramai 30 orang yang dikemukakan tertuduh sebenarnya bukan pekerja Syarikat Nona Chantique Empire, miliknya.

Pertuduhan terhadap Mona Liza adalah menurut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang palsu atau silap dan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mona Liza juga didakwa atas lima pertuduhan pilihan menggunakan tujuh dokumen “borang pengesahan pekerja program insentif pengambilan pekerja” yang mengandungi butiran palsu kepada Mira Sabriena bagi menuntut insentif berjumlah sama (RM120,060) melalui sistem Penjana Kerjaya di tempat dan masa sama.

Tertuduh turut tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan itu yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Julaila Jamaludin menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin untuk semua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Nor Shafika Balqis Jaffri memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang tempoh siasatan.

Hakim Kamarudin Kamsun membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin untuk semua tujuh pertuduhan berserta syarat tambahan seperti yang dipohon pendakwaan selain menetapkan 8 November ini untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.