Tarik balik tauliah penceramah agama selaras titah Sultan, jelas MAIS

Tarik balik tauliah penceramah agama selaras titah Sultan, jelas MAIS

Penarikan balik tauliah Abdullah Khairi dibuat mengikut Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008, menurut pengerusi MAIS.

Dilaporkan sebelum ini MAIS menarik balik tauliah mengajar agama Islam yang diberikan kepada Abdullah Khairi berkuat kuasa 27 Sept lepas. (Gambar Facebook)
SHAH ALAM:
Isu penarikan balik tauliah mengajar agama Islam melibatkan penceramah Abdullah Khairi Haroon dibuat berdasarkan keputusan Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pengerusi MAIS Abdul Aziz Mohd Yusof dalam kenyataan berkata, titah tersebut berhubung larangan pemberian tauliah mengajar agama Islam kepada mana-mana aktivis politik.

Abdul Aziz berkata, tindakan penarikan balik tauliah tersebut dibuat mengikut Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 dan pemegang tauliah yang terkesan diberi ruang untuk membuat rayuan kepada MAIS.

“MAIS menyeru semua pihak agar tidak mempolitikkan isu penarikan balik tauliah mengajar agama Islam dan menghormati titah Sultan Selangor yang tidak memperkenan tauliah diberikan kepada mana-mana aktivis politik.

“Ini kerana ia dikhuatiri boleh disalahgunakan untuk kepentingan mana-mana parti politik yang akhirnya akan membawa kepada fitnah, perselisihan dan perpecahan umat Islam di Selangor serta mencemarkan agama Islam,” katanya.

Dilaporkan sebelum ini MAIS menarik balik tauliah yang diberikan kepada Abdullah berkuat kuasa 27 Sept lepas, yang dimaklumkan sendiri oleh pendakwah tersebut menerusi perkongsian di media sosial pada 5 Okt lepas.

Dalam perkembangan lain, Abdul Aziz berkata, pihaknya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 5 Okt lepas membatalkan penarikan balik tauliah mengajar agama Islam Ahmad Dusuki Abdul Rani oleh MAIS.

Katanya, keputusan mahkamah dibuat berdasarkan alasan ketidakpatuhan prosedur semasa proses penarikan balik tauliah dibuat.

“Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam ini sama sekali tidak menyentuh dan tidak mempersoalkan penarikan balik tauliah atas titah Sultan Selangor yang tidak memperkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada mana-mana aktivis politik.

“Justeru, titah Sultan Selangor ini masih berkuat kuasa di negeri Selangor,” katanya.

Abdul Aziz menegaskan keputusan MAIS untuk menarik balik tauliah Ahmad Dusuki dibuat selaras dengan titah Sultan berdasarkan maklumat tentang status keaktifannya dalam parti politik, termasuk tapisan keselamatan oleh polis.

“MAIS memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah tersebut atas alasan, antara lain, rayuan yang difailkan ini hanya bersifat akademik kerana tempoh tauliah mengajar agama Islam Ahmad Dusuki telah tamat pada 30 Jun lalu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.