Perdaya 2 wanita hingga lakukan seks, guru tahfiz didenda RM12,000

Perdaya 2 wanita hingga lakukan seks, guru tahfiz didenda RM12,000

Tertuduh didakwa memperdayakan dua wanita untuk mempercayai tawaran pinjaman RM300 dan RM2,000 sehingga mendorong mangsa melakukan hubungan seks dengannya.

Mahkamah Majistret Ayer Keroh menjatuhkan hukuman denda RM12,000 terhadap Ahmad Saifullah Abdul Khalid kerana memperdaya dua wanita hingga melakukan hubungan seks dan memiliki gambar lucah.
MELAKA:
Seorang guru sekolah agama didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan memperdayakan dua wanita hingga melakukan hubungan seks, serta memiliki gambar lucah.

Ahmad Saifullah Abdul Khalid, 33, didakwa atas pertuduhan memperdayakan dua wanita berumur 19 dan 33 tahun, untuk mempercayai tawaran pinjaman wang berjumlah RM300 dan RM2,000, sehingga mendorong mangsa melakukan hubungan seks dengan tertuduh.

Kedua-dua kesalahan tersebut dilakukan di sebuah hotel di Plaza Mahkota pada 12.40 pagi 21 Mac lalu dan di sebuah premis di Jalan Tebing Tinggi, Bukit Baru dalam daerah Melaka Tengah pada 11 pagi 1 Okt lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan ketiga, Saifullah didapati memiliki tujuh keping gambar lucah dalam telefon bimbitnya.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di sebuah sekolah maahad di Ayer Molek dalam daerah Melaka Tengah pada 1.50 tengah hari 3 Okt lalu mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleimanm, menetapkan denda RM3,500 bagi setiap pertuduhan pertama dan kedua atau gagal bayar boleh dipenjara tiga bulan, manakala denda RM5,000 atau penjara 10 bulan bagi pertuduhan ketiga.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran, manakala Saifullah yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman denda kerana dia menanggung keluarga termasuk dua anak kecil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.