RUU Kesatuan Sekerja lulus dengan undian suara

RUU Kesatuan Sekerja lulus dengan undian suara

RUU diluluskan Dewan Rakyat hari ini mengandungi cadangan pindaan sama yang dibacakan dan diluluskan pada 5 Okt tahun lalu.

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata RUU Kesatuan Sekerja dikuatkuasakan di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Rang Undang-undang (RUU) Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2023 diluluskan di Dewan Rakyat melalui undian suara.

RUU bertujuan mengawal pergerakan kesatuan sekerja di Malaysia yang secara amnya memperuntukkan tatacara dan proses dari segi pendaftaran, pembatalan dan urus tadbir kesatuan sekerja, dibahaskan oleh 14 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

RUU diluluskan hari ini mengandungi cadangan pindaan sama yang dibacakan dan diluluskan di Dewan Rakyat pada 5 Okt tahun lalu.

Bagaimanapun, ia tidak sempat dikemukakan kepada Dewan Rakyat ketika itu kerana Parlimen dibubarkan pada 10 Okt.

Ketika penggulungannya Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berkata RUU itu dikuatkuasakan di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Katanya, sebanyak 10 kali pindaan dilakukan dan terakhir dilakukan pada 2007, selaras perubahan sosioekonomi dan keperluan semasa.

“Kerajaan sentiasa mengambil inisiatif dalam memperbaharui undang-undang perburuhan bagi menjamin kesejahteraan pekerja dan keharmonian dalam perusahaan,” katanya di Dewan Rakyat.

Sivakumar berkata, kepelbagaian kesatuan sekerja dijangka memberi kesan baik terutama kepada pekerja, selain memberi kebebasan kepada pekerja menyertai atau menubuhkan kesatuan sekerja mengikut kehendak mereka sendiri.

“Bagi memastikan keharmonian perusahaan dapat dikekalkan, sesuatu kesatuan dibenarkan untuk mengehadkan keanggotaannya di mana seseorang pekerja yang menganggotai kesatuannya, tidak dibenarkan untuk menganggotai kesatuan sekerja lain.

“Menjadi harapan kerajaan dengan pindaan Akta 262 ini, ia akan mewujudkan kesatuan sekerja lebih matang, progresif dan bersaing secara sihat bagi memastikan faedah pekerja dapat ditingkatkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.