
Shuhaily berkata proses audit berterusan juga akan dilaksanakan, bertujuan memastikan sama ada aset atau harta dimiliki berpadanan atau mengikut kemampuan mereka.
“Kami sudah mulakan inisiatif semua penjawat jawatan sensitif ini diarahkan isytihar harta masing-masing.
“Sekiranya seseorang itu mampu berikan sebab, saya tak larang sesiapa beli kereta… kalau ada sumber kewangan yang sah siapa saya nak larang memakai kenderaan tersebut,” katanya pada sidang media.
Jawatan sensitif itu membabitkan bahagian dari risikan dan operasi, ketua JSJ daerah serta kawasan panas, unit pencegahan judi, maksiat, serta gengsterisme.
Baru-baru ini, Shuhaily memberi amaran keras terhadap pegawai bawahannya supaya berhenti bersekongkol dengan sindiket jenayah, selain mengakui wujud situasi pegawai polis sanggup membunuh antara satu sama lain disebabkan wang.
“Perkara ini berlaku disebabkan tiada penyeliaan di bawah untuk memantau dan melihat cara hidup pegawai dan anggota bawahan mereka.
“Seorang sarjan boleh memiliki Alphard, Vellfire, Mercedes? Apakah pegawai atasan bertanya, ada buat pengisytiharan harta? Benda itu semua sudah ada dalam arahan,” katanya dalam video dimuat naik di Facebook rasmi polis.
Sementara itu, Shuhaily turut menyeru mana-mana anggota berminat menyertai jawatan sensitif mengemukakan permohonan mereka dan mengisytiharkan harta mereka.
“Malah saya telah keluarkan tawaran terbuka kepada mana-mana anggota berminat menyertai kami menjawat jawatan sensitif sila kemuka surat permohonan dengan borang pengisytiharan harta dan akan ditemuduga.