
Jamaliah berkata berbanding negeri lain, Selangor satu-satunya pemerintah yang melaksanakan pendengaran awam sebelum membenarkan pembukaan hutan simpan antaranya cadangan nyahwarta Hutan Simpan Kuala Langat Utara.
Tegas Jamaliah, kerajaan akan mengekalkan standard berkenaan untuk memastikan 30% daripada keluasan Selangor meliputi hutan simpan bagi mengekalkan kehijauan.

“Ini cabaran tidak kira buat kerajaan negeri atau persekutuan untuk imbangi pembangunan dan alam sekitar,” katanya dalam wawancara bersama FMT baru-baru ini.
Beliau mengulas kritikan beberapa pihak susulan terhadap pentadbiran Menteri Besar Amirudin Shari berhubung pembukaan kawasan hutan untuk projek laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan rel kereta api ke Pelabuhan Klang.
Menurut Jamaliah, kerajaan negeri bertindak pantas sekiranya penerokaan tidak mengikut spesifikasi, merujuk arahan pemberhentian kerja terhadap pembukaan tanah di Hutan Simpan Hulu Gombak dan Serendah untuk projek ECRL.
Arahan dikeluarkan Disember tahun lalu terbabit lebih awal berbanding sebelum gambar penggondolan dan wujud laluan pembalakan disebarkan dua bulan selepas itu.
“Menteri besar sangat cepat dan efektif telah beri arahan berhentikan pembersihan itu sehingga mereka ikut jalan atau prosedur betul.
“Sekiranya mahu ‘judge’ (nilai) Selangor, bandingkan dengan negeri lain… Selangor sangat progresif dalam memelihara dan melindungi alam sekitar,” katanya.
Sementara itu, Jamaliah yang turut bertanggungjawab dalam hal ehwal kesihatan di Selangor mahu memfokuskan usaha kepada pencegahan penyakit di kalangan warga negeri paling maju di Malaysia.
“Kalau dapat cegah atau rawat peringkat awal dapat hindari warga Selangor menjalani rawatan lebih serius dan memerlukan perbelanjaan lebih besar.
“Contoh kita keluar RM1 juta untuk laksana pencegahan, tetapi saya percaya sebenarnya dapat jimat lebih banyak berbanding belanja rawatan,” katanya.