Tuntutan palsu kelas tambahan anak tentera, mejar mengaku tak salah

Tuntutan palsu kelas tambahan anak tentera, mejar mengaku tak salah

Tertuduh didakwa memperdaya pegawai sel pendidikan am Jabatan Arah Pendidikan, Kementerian Pertahanan bagi bayaran tuntutan kelas bimbingan anak tentera Pulau Pinang.

Mohd Nazeri Noor diarahkan membayar jaminan RM9,000 bagi tiga pertuduhan selain diminta melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang pegawai tentera udara berpangkat mejar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth terhadap tiga pertuduhan tuntutan palsu RM4,345 untuk bayaran kelas bimbingan bagi anak tentera Pulau Pinang pada 2018.

Tertuduh, Mohd Nazeri Noor, 55 yang tidak diwakili peguam membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan itu, bapa kepada enam anak terbabit didakwa memperdayakan pegawai sel pendidikan am Jabatan Arah Pendidikan, Kementerian Pertahanan berhubung bayaran tuntutan bagi kelas bimbingan untuk anak-anak tentera kawasan Pulau Pinang kategori UPSR dan PT3.

Ia adalah dengan cara supaya pegawai berusia 44 tahun berkenaan mempercayai kelas itu benar dilaksanakan sehingga memproses bayaran keseluruhan RM4,345 terhadap tertuduh, menurut laporan Harian Metro.

Kesalahan itu didakwa dilakukan ketika tertuduh berkhidmat di Sel Pendidikan Markas 2 Divisyen, Kem Tun Razak Bayan Lepas antara 28 Mac hingga 24 September 2018, menurut Harian Metro.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Afiqa Liyana Rozman dan Noor Azura Zulkiflee.

Semasa prosiding, pihak pendakwaan memohon supaya jaminan dikenakan RM10,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan termasuk meminta dikenakan beberapa syarat tambahan.

Tertuduh dalam rayuannya, meminta supaya mahkamah menimbangkan supaya tidak mengenakan sebarang jaminan berbayar kepadanya dengan alasan perlu menanggung enam anak yang masih menuntut di institut pengajian tinggi (IPT) termasuk seorang anak yang masih kecil dan belajar di tadika.

Dalam pada itu, dia juga memaklumkan perlu menanggung ibunya yang sakit termasuk dirinya juga menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis serta memerlukan perbelanjaan besar bagi melantik peguam yang akan mengendalikan kes yang dihadapinya.

Hakim kemudian menetapkan jaminan RM9,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan terbabit selain tertuduh diminta melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 30 Nov untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.