
Hishammuddin Hussein (BN-Sembrong) menegaskan kementerian terbabit harus mengambil langkah proaktif mengambil tindakan susulan selepas pengumuman pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara.
Menurutnya, menteri bertanggungjawab mengendalikannya tidak seharusnya bergantung kepada pengumuman melalui sidang media atau di laman media sosial semata-mata.
“Pelbagai MoU (perjanjian persefahaman) telah ditandatangani bersama pelbagai negara dari pelbagai sektor.
“Namun apakah tindakan susulan telah dilakukan? Tindakan menteri-menteri tidak mencukupi jika hanya bersandarkan kenyataan melalui sidang media atau di media sosial, mesti diperlihatkan dan rakyat merasai hasil tindakan tersebut,” katanya dalam perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat.
Bekas menteri pertahanan itu turut berkata sukar untuk melihat perkara menarik dalam pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan.
“Saya secara peribadi pun merasakan sukar untuk mengenal pasti ‘key take-away’ yang utama daripada belanjawan yang dibentangkan.
“Menteri-menteri pun kelihatan tidak minat dan kehadiran dalam Dewan ini pun seolah-olah tidak peduli untuk mendengar perbahasan bajet. Hal ini membimbangkan kita sebagai ahli-ahli Dewan yang mulia ini,” katanya
Hishammuddin menegaskan, beliau hanya mahu kerajaan memahami denyut nadi dan kepayahan yang dirasai rakyat apabila membangkitkan perkara itu di dalam perbahasannya, hari ini.
“Saya disini bukan untuk menunding jari kepada sesiapa, tetapi hanya memberi pandangan supaya kerajaan mesti dilihat sebagai pihak yang mampu memberikan harapan dan sandaran kepada rakyat.
“Letaklah diri di tempat mereka, rasai kesusahan dan fikirkan kebimbangan mereka, bukan sekadar formula semata-mata. InsyaAllah, tindakan itu akan seiring dengan apa yang diperlukan dan diharapkan oleh rakyat,” tegasnya.