Tiong bidas Ermieyati isu minum, menari ketika festival

Tiong bidas Ermieyati isu minum, menari ketika festival

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing mempertahankan tindakan beliau ketika meraikan suatu pesta bersama orang ramai.

Wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak, Tiong King Sing, mempertahankan tindakannya meminum minuman memabukkan dan menari bersama orang ramai ketika meraikan suatu festival. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing mempertahankan tindakan beliau meminum minuman memabukkan dan menari ketika meraikan suatu festival bersama orang ramai.

Tiong membidas kritikan dengan berkata meraikan perayaan mengikut kelaziman komuniti terbabit tidak patut menjadi penentu prestasinya sebagai seorang menteri.

“Dia orang ajak sama saya. Festival. Saya main-main dengan budak macam orang ‘gila’ sikit… apa salahnya? Janganlah cerita bukan-bukan,” katanya semasa menggulung Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat.

Tiong turut mengingatkan pembangkang bahawa dirinya bukan beragama Islam. “Saya minum apa salah?”

Sebelum ini, Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mempersoalkan sama ada Tiong mempunyai cara tersendiri menarik pelancong dengan ‘mabuk’ dan ‘menari di tempat umum’.

Sebelum itu tular video Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu menari dengan orang ramai.

Wakil rakyat Bersatu itu dilapor menegur Tiong yang dianggap tidak sesuai menjalankan tugas sebagai menteri yang menjaga hal ehwal pelancongan, seni dan budaya.

Tiong, yang juga pemimpin Gabungan Parti Sarawak, bagaimanapun berkata beliau tidak melihat kewajaran ‘rungutan’ terhadap budaya komuniti bukan Islam itu.

“Mesti sama-sama menghormati, baru boleh mencapai keharmonian,” tegasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.