
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata cadangan itu kini dalam proses pertimbangan Jemaah Menteri.
“Saya boleh katakan persetujuan ini dilihat rentas parti dan kita sedang dalam proses angkat kepada Jemaah Menteri.
“Penentuan yang membolehkan kita ada satu mekanisme yang tak perlu tunggu untuk bawa ke menteri dan sebagainya,” katanya ketika sesi penggulungan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat.
Menurutnya, langkah itu susulan terdapat rungutan daripada operator air bahawa tarif sedia ada bagi kegunaan bukan komersial tidak naik hampir 40 tahun, sekali gus membebankan mereka untuk menanggung kos penyelenggaraan.
“Kerajaan sebelum ini benarkan kenaikan untuk pengguna bukan domestik (industri), jadi kita perlu juga (buat pertimbangan) kerana banyak negeri yang tidak banyak industri atau pun sektor komersial.”
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan kajian terhadap kenaikan tarif itu mengambil kira kesan terhadap pengguna khususnya B40 dan M40.
Perjanjian konsesi air dengan Singapura
Sementara itu, Nik Nazmi berkata kerajaan bercadang memulakan semula rundingan dua hala dengan Singapura mengenai Perjanjian Air Sungai Johor 1962, yang kali terakhir diadakan pada awal 2020 ketika pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.
“Ia bukan mudah sebab melibatkan dua pihak. Pendekatannya, kita cuma perlu memulakan semula perbincangan tersebut,” katanya.
Untuk rekod, berdasarkan perjanjian berakhir 2061 itu, ia memberi hak kepada Singapura untuk menarik 250 juta gelen air mentah sehari dari Sungai Johor pada harga tiga sen setiap 1,000 gelen.
Johor kemudiannya membeli semula air terawat daripada republik itu pada kadar 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.
Bagaimanapun, Mahathir pada pertengahan 2019 selepas mengambil tampuk pemerintahan Putrajaya pada PRU14 berkata harga air mentah yang dijual kepada Singapura tidak munasabah dan bercadang untuk berunding semula terma perjanjian.
Sebelum itu, Singapura bersetuju membayar 45 sen bagi setiap 1,000 gelen sehingga 2011 dan 60 sen mulai 2011 hingga 2061 yang akan berterusan sehingga 100 tahun selepas itu.
Bagaimanapun, Malaysia dilaporkan mengenakan syarat bahawa Singapura perlu membayar 60 sen bermula 2001 hingga 2007 dan RM3 sehingga 2011 tetapi republik itu menolak.