Ketua negeri ambil alih pengurusan Bersatu Kuala Kangsar, Labuan, kata Hamzah

Ketua negeri ambil alih pengurusan Bersatu Kuala Kangsar, Labuan, kata Hamzah

Setiausaha agung Bersatu berkata tindakan itu sementara menunggu keputusan dibuat Lembaga Disiplin terhadap dua Ahli Parlimen berkenaan.

Hamzah Zainudin berkata Bersatu tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku disiplin dalam kalangan ahli.
PETALING JAYA:
Bersatu memutuskan badan pimpinan negeri mengambil alih pengurusan Bahagian Kuala Kangsar dan Labuan, yang kedua-dua Ahli Parlimennya mengisytiharkan sokongan kepada Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung Hamzah Zainudin berkata tindakan itu sementara menunggu keputusan dibuat Lembaga Disiplin terhadap kedua-dua ketua bahagian tersebut.

“Seluruh Ahli Parlimen Bersatu kekal istiqamah bersama kepimpinan Presiden Muhyidin Yassin dan sebarang cubaan pihak luar untuk memecah-belahkan kesatuan parti melalui tindakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar dan Labuan tidak akan berjaya.

“Justeru, Bersatu tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku disiplin dalam kalangan ahli, khususnya membabitkan Ahli Parlimen mahu pun Adun,” katanya dalam kenyataan.

Pada 30 Okt, Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman mengikut jejak Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang menyatakan sokongan kepada Anwar pada 12 Okt lalu, dengan masing-masing sedia berdepan tindakan daripada parti mereka.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata Naib Presiden Radzi Jidin dilantik sebagai Ketua Bersatu Wilayah Persekutuan, berkuatkuasa serta-merta menggantikan Suhaili.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.