Umno akan lawan ‘cita-cita’ Sanusi tawan Pahang

Umno akan lawan ‘cita-cita’ Sanusi tawan Pahang

Cita-cita PAS mahu tawan Pahang tidak boleh dipandang remeh, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Shahaniza Shamsuddin.

BN dan PH yang menguasai 26 DUN membentuk pentadbiran di Pahang selepas PRU15. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Umno Pahang akan melawan cita-cita Pengarah Pilihan Raya PAS Sanusi Nor yang menyasarkan untuk meluaskan kuasanya di negeri pantai timur itu.

Bercakap kepada FMT, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Shahaniza Shamsuddin berkata mereka tidak boleh memandang remeh impian PAS itu terutama dengan kemaraan ditunjukkannya kini.

“Kita anggap sebagai cabaran untuk perkuatkan jentera parti dan memperkasakan lebih ramai kepimpinan muda bagi mempertahankan Pahang dalam PRU akan datang,” katanya yang juga ketua Umno Maran.

Shahaniza Shamsuddin.

Pada Muktamar PAS ke-69 bulan lalu, Sanusi berkata pihaknya berhasrat menguasai Pahang dan Perak selain mengekalkan empat negeri sedia ada iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, serta Perlis.

Beliau yang juga menteri besar Kedah berkata PAS perlu mengambil pelbagai langkah dan tidak hanya terkurung dengan politik tradisi, selain berusaha menambah jumlah kerusi Parlimen dan DUN.

Pada PRU15, PAS membantu Perikatan Nasional (PN) mencatat keputusan memberangsangkan dengan memenangi 17 kawasan yang bukan sahaja menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) tetapi menyebabkan situasi DUN tergantung.

Pentadbiran negeri itu hanya berjaya dibentuk apabila BN bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), gabungan itu memiliki 26 kerusi, lebih sembilan daripada PN.

Mohd Farid Mohd Nor.

PN turut menang tujuh kerusi Parlimen dengan merampas beberapa kerusi BN iaitu Jerantut, Maran, Kuala Krau, dan Rompin.

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada menteri besar Pahang Mohd Farid Mohd Nor pula menganggap kenyataan Sanusi itu sebagai cabaran buat BN.

“Kami di Pahang anggap ini sebagai satu cabaran untuk menambah baik khidmat kepada rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.