Syed Saddiq letak jawatan presiden Muda

Syed Saddiq letak jawatan presiden Muda

Amira Aisya Abd Aziz akan memangku jawatan presiden Muda.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melepaskan jawatan presiden Muda sehingga proses mahkamah membabitkannya selesai.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan melepaskan jawatan presiden Muda sehingga proses undang-undang membabitkannya selesai.

Perkara itu diumumkan Syed Saddiq selepas mesyuarat khas yang diadakan beberapa jam selepas Mahkamah Tinggi pagi tadi memutuskannya bersalah atas empat pertuduhan berkaitan rasuah.

Jawatan presiden akan dipangku timbalannya Amira Aisya Abd Aziz.

Menurutnya, walaupun dari segi undang-undang beliau masih boleh memegang jawatan itu namun dirinya
merasakan Muda lebih besar daripadanya.

“Pemimpin mesti lebih putih daripada putih dan fakta hari ini tidak berhak memiliki peranan itu lagi.

“Saya tidak tergolong dalam kumpulan itu,” katanya pada sidang media sambil merujuk keputusan Mahkamah Tinggi.

“Saya akan mengosongkan jawatan saya sebagai presiden Muda dengan serta merta sementara membersihkan nama melalui proses mahkamah.”

Terdahulu, Mahkamah Tinggi mendapati bekas menteri belia dan sukan itu bersalah atas empat tuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada bernilai lebih RM1 juta.

Syed Saddiq ketika itu adalah ketua sayap Pemuda Bersatu atau lebih dikenali sebagai Armada.

Hakim Azhar Abdul Hamid berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap presiden Muda dan Ahli Parlimen Muar itu melampaui keraguan munasabah.

Azhar menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.