
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata demikian susulan syor dikemukakan Badan Kawal Selia Padi dan Beras, semalam.
Beliau berkata, sebarang kesan kenaikan perlu mengambil kira kesan terhadap hampir 300,000 komuniti melibatkan pesawah, pengilang komersial, pemborong, dan peruncit.
“(Cadangan itu) sedang dibincang sebab harga (RM2.60 setiap 1kg BPT sejak) tahun 2008, jadi ada pihak katakan perlu kaji semula,” katanya menurut Harian Metro.
Mohamad berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Ekonomi, dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Semalam, Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Azman Mahmood dilapor mencadangkan agar kerajaan menaikkan harga siling BPT demi menjaga masa depan semua pihak yang terbabit dalam rantaian pengeluaran bahan makanan itu, terutama pesawah.
Azman berkata, kenaikan harga siling BPT penting bagi mengelakkan berlakunya longgokan padi tempatan berikutan pengilang tidak lagi berminat meneruskan pembelian beras kerana harga rendah.
Keadaan itu sekali gus menyumbang kepada kerosakan padi boleh berlaku apabila pengilang menumpukan kepada penjualan beras putih import (BPI) kerana ia lebih menguntungkan.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, beliau berpandangan perlu ada penyelesaian “menang-menang” untuk semua pihak berkepentingan selain memastikan agenda keterjaminan makanan nasional sentiasa diutamakan.