Minta MB Selangor, N Sembilan letak jawatan dulu, Umno diberitahu

Minta MB Selangor, N Sembilan letak jawatan dulu, Umno diberitahu

Razali Idris meminta Azalina Othman Said supaya berlaku adil dalam menggesa Ahmad Samsuri Mokhtar meletak jawatan sebagai menteri besar Terengganu.

Razali Idris bidas Azalina Othman Said PH kerana menggesa Ahmad Samsuri Mokhtar meletak jawatan sebagai menteri besar Terengganu.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Bersatu berkata Umno perlu lebih adil apabila mencabar Ahmad Samsuri Mokhtar meletak jawatan sebagai menteri besar Terengganu kerana beliau bertanding pada PRK Kemaman, 2 Dis depan.

Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris berkata kenyataan rakan sejawatnya dari Umno Azalina Othman Said yang mendesak perkara itu harus diletakkan dalam keadaan yang sesuai.

Katanya jika keadaan diambil kira Azalina perlu menasihatkan rakan dari Pakatan Harapan yang ada menteri besarnya turut menjadi Ahli Parlimen.

“Kalau nak suruh MB Terengganu letak jawatan dan fokus Parlimen Kemaman, suruh MB Selangor dan MB Negeri Sembilan letak jawatan dulu,” katanya dalam kenyataan.

Sebagai rekod, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari adalah Ahli Parlimen Gombak manakala Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun pula mewakili Parlimen Port Dickson.

Selain mereka, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow turut menjadi Ahli Parlimen Batu Kawan.

Razali mengulas kenyataan Azalina yang mencabar Samsuri untuk memberi fokus kepada PRK Kemaman.

“Kalau betul dia yakin (menang), saya nak cabar dia hari ini letak jawatan sebagai menteri besar Terengganu…fokus kepada Parlimen Kemaman (dan) lawan satu dengan satu (baru) adil,” kata Azalina.

PRK Kemaman menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara Samsuri dari PAS dengan bekas panglima tentera Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang mewakili Barisan Nasional (BN).

SPR menetapkan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Dis sebagai hari pengundian.

PRK Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada PRU15.

Pada PRU15, Che Alias menang kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi menewaskan Ketua Umno Terengganu Ahmad Said yang mendapat 38,535 undi, calon Pakatan Harapan Hasuni Sudin (8,340) dan calon Pejuang Rosli Ab Ghani (506).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.