‘Israel akan faham kekuatan orang Islam’, Dr M gesa teruskan boikot

‘Israel akan faham kekuatan orang Islam’, Dr M gesa teruskan boikot

Bekas perdana menteri menggesa rakyat meneruskan boikot barangan tertentu supaya Israel faham 'kekuatan orang Islam'.

Dr Mahathir Mohamad menghadiri majlis serahan dana untuk Palestin anjuran sebuah NGO, hari ini. (Gambar Facebook)
CYBERJAYA:
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menggesa rakyat meneruskan boikot ‘barangan Israel’ supaya negara Zionis itu faham ‘kekuatan orang Islam’.

Beliau membuat gesaan itu semasa berucap pada majlis serahan dana untuk Palestin, anjuran sebuah NGO, Aid4Palestine, di Dewan Yayasan Permata Ummah.

Mahathir menamakan dua jenama dalam seruannya itu, lalu berkata “Israel akan faham kekuatan ada kepada orang Islam.”

Terdahulu, kerajaan menjelaskan semua jenama asing di Malaysia adalah milik syarikat tempatan, melalui konsep fancaisi induk yang tertakluk pada Akta Francais.

Turut hadir di majlis ini Presiden PAS Hadi Awang, yang merupakan penaung NGO terbabit.

Majlis menyaksikan pengerusinya, Muhammad Khalil, yang juga anak kepada presiden PAS itu, menyampaikan cek kepada Hadi dengan disaksikan oleh Mahathir.

Sementara itu, Mahathir pada sidang media berkata sebahagian rakyat Palestin di Malaysia juga perlu bantuan.

“Sebenarnya ramai daripada mereka tidak ada wang bayar pelajaran mereka atau makanan mereka,” katanya kepada pemberita seusai majlis.

Dalam pada itu, Hadi turut ditanya tentang kenyataan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bahawa sokongan rakyat kepada PAS sudah ‘tepu’ sebelum bergandingan dengan partinya.

“PAS bekerjasama dengan semua pihak untuk buat perubahan,” jawabnya ringkas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.