
Di Kelantan, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 709 orang daripada 201 keluarga berbanding 531 orang daripada 144 keluarga pagi tadi.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 232 mangsa dari Pasir Mas melibatkan 79 keluarga berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, manakala 56 daripada 16 keluarga ditempatkan di SK Kedai Tanjung.
Di jajahan Bachok, 354 mangsa daripada 90 keluarga ditempatkan di SK Jelawat dan 67 daripada 16 keluarga mendapat perlindungan di SK Beris Panchor.
Situasi banjir di Terengganu semakin pulih apabila 326 mangsa daripada 73 keluarga berada di enam PPS di empat daerah, berbanding 621 daripada 147 keluarga di 12 PPS di tujuh daerah, pagi tadi.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT), di Kuala Terengganu seramai 91 mangsa daripada 22 keluarga berada dua PPS, manakala di Besut 176 daripada 39 keluarga berlindung di sebuah PPS.
Di Dungun, 50 mangsa daripada 10 keluarga berlindung di dua PPS sementara di Setiu, hanya sembilan berada di sebuah PPS.
Menurut JPBNT, sebanyak enam PPS di tiga daerah ditutup tengah hari tadi iaitu Kemaman, Marang, dan Kuala Nerus selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Sementara itu di Selangor, dua PPS di daerah Kuala Selangor dibuka masing-masing pada Jumaat dan hari ini dengan menempatkan 83 mangsa daripada 29 keluarga.
Portal Info Bencana JKM memaklumkan PPS Balai Raya Rantau Panjang menempatkan 47 mangsa, manakala 36 di PPS SK Sultan Abdul Aziz.