Jawab surat, bukan beri kenyataan di media, Aman Palestin beritahu SPRM

Jawab surat, bukan beri kenyataan di media, Aman Palestin beritahu SPRM

Peguam Aman Palestin Rafique Rashid berkata SPRM perlu ada budi bicara untuk menjelaskan tindakan diambil agensi itu secara bertulis.

Aman Palestin memberi tempoh tiga hari kepada SPRM untuk menyahbekukan akaun bank pertubuhan itu atau bakal berdepan tindakan undang-undang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Aman Palestin menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjawab surat dihantar pertubuhan itu berhubung isu akaun bank dibekukan, bukan mengeluarkan kenyataan di media.

Peguam Aman Palestin Rafique Rashid berkata, pertubuhan itu menghantar satu surat kepada SPRM berhubung isu tersebut semalam tetapi sehingga hari ini tiada sebarang maklum balas diterima pihaknya daripada agensi antirasuah berkenaan.

“Kami hanya dapat makluman melalui laporan berita dalam talian. Setakat petang ini kami belum terima sebarang jawapan secara bertulis daripada pihak ketua pesuruhjaya SPRM mahupun pengarah bahagian pengubahan wang haram.

“Kami memang bersedia untuk ambil tindakan undang-undang. Insya-Allah akan ambil pun, tetapi sekurang-kurangnya SPRM perlulah ada budi bicara untuk jawab secara bertulis,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang menegaskan agensi antirasuah itu tidak akan menyahbekukan akaun Aman Palestin dan sedia berdepan tindakan undang-undang daripada NGO tersebut.

Semalam, Aman Palestin memberi tempoh tiga hari kepada SPRM untuk menyahbekukan akaun dan menjawab surat dihantarnya.

Rafique dilaporkan berkata, kenyataan SPRM sama dengan “pembunuhan watak” NGO itu dan ahli lembaga pengarahnya, serta menghalang NGO tempatan daripada memberikan bantuan amat diperlukan kepada rakyat Palestin.

SPRM sebelum ini membekukan 41 akaun bank milik Aman Palestin Berhad dan beberapa entiti lain berjumlah RM15.8 juta susulan siasatan ke atas dakwaan penyalahgunaan dana sumbangan berjumlah RM70 juta.

Azam bagaimanapun berkata, tiada “konspirasi terancang” untuk melakukan pembunuhan watak terhadap sesiapa.

Beliau dalam satu lagi kenyataan berkata, pembekuan akaun bank itu dilakukan mengikut peruntukan undang-undang dan langkah biasa dalam siasatan rasuah, jika perlu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.