Kementerian Ekonomi akan bentang mekanisme subsidi bersasar RON95

Kementerian Ekonomi akan bentang mekanisme subsidi bersasar RON95

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata sebuah jawatankuasa khusus melibatkan semua kementerian turut ditubuhkan.

Kerajaan dilapor akan memperkenalkan mekanisme subsidi bersasar bagi RON95 pada separuh kedua 2024.
PUTRAJAYA:
Kementerian Ekonomi akan membentangkan mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar RON95 yang dijangka bermula tahun depan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, kata pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali.

“Perbincangan tentang pelaksanaan dan mekanisme RON95 ini merentasi kementerian utama, iaitu Kementerian Ekonomi.

“Namun, ada satu jawatankuasa khusus yang melibatkan semua kementerian, termasuk KPDN.

“Kementerian Ekonomi dalam mesyuarat Jemaah Menteri juga akan membawa pandangan daripada pelbagai kementerian, termasuklah KPDN,” katanya selepas Majlis Perasmian Simposium Kos Sara Hidup (SCOL) 2023 oleh Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi.

Semalam, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan berkata kerajaan akan memperkenalkan mekanisme subsidi bersasar bagi RON95 pada separuh kedua 2024 bagi memastikan subsidi secara bersasar disalurkan kepada “golongan paling memerlukan” dan mengoptimumkan sumber Putrajaya.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 bulan lalu berkata, subsidi diesel akan dirasionalisasikan secara berperingkat memandangkan kerajaan membelanjakan RM55.443 bilion bagi tujuan itu pada 2022.

Terdahulu, Zahid memetik Laporan Kajian Impak Program Subsidi Petrol dan Program Subsidi Diesel Sektor Pengangkutan Terpilih sebagai berkata, kumpulan T20 secara purata menggunakan RM399 sebulan bagi petrol RON95, manakala B40 RM243.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.