
Mohammed Rashid Rahmat, 61, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Nooriah Osman.
Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, Rashid didakwa melakukan perbuatan itu ke atas mangsa yang masing-masing berusia tujuh tahun empat bulan dan tujuh tahun lima bulan di pekarangan koridor PPS di sebuah sekolah rendah di daerah Kuala Nerus antara 6 petang hingga 8 malam 22 Nov lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan seorang penjamin, dengan syarat tambahan melapor diri di Balai Polis Gong Badak setiap 1 hari bulan sehingga kes selesai serta tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sepanjang prosiding.
Mahkamah menetapkan 31 Dis ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nurul Najmi Adila Md Nasir.