
Sebelum itu, seramai 19 Ahli Parlimen membahaskan pindaan Akta Suhakam selepas bacaan kedua dan digulung oleh Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said.
Rang Undang-undang (RUU) Suhakam antaranya memperuntukkan sekurang-kurangnya seorang wakil orang kurang upaya (OKU) dan 30% wanita dilantik sebagai anggotanya.
RUU Suhakam yang dibaca kali pertama Isnin lalu bertujuan mengukuhkan fungsi dan peranan Suhakam sebagai badan bebas melindungi dan mempromosikan hak asasi manusia.
Katanya ia turut melibatkan pemerkasaan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak melalui pelantikan seorang ketua pesuruhjaya dan dua pesuruhjaya kanak-kanak, selain memberi kuasa tambahan kepada Suhakam untuk memantapkan pemeliharaan hak asasi kanak-kanak di Malaysia.
Terdahulu, ketika perbahasan, Dr Zulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) menggesa jumlah keanggotaan Suhakam terhad kepada tujuh orang sahaja dah ahlinya benar-benarnya berkelayakan.
Teresa Kok (PH-Seputeh) pula mencadangkan elaun anggota Suhakam dinaikkan supaya mereka terbela selain meminta peruntukan bagi tujuan latihan.
Rodziah Ismail (PH-Ampang) pula berharap negara mewujudkan pesuruhjaya wanita seperti di Indonesia.
“Indonesia telah menubuhkan pesuruhjaya khusus untuk wanita dan kanak-kanak. Saya harap di Malaysia satu hari nanti wujudkan pesuruhjaya wanita,” katanya.
Sementara itu, Azalina berkata hak pembelaan hak asasi manusia di Malaysia akan menjadi lebih baik dan suruhanjaya ini dapat menjalankan tugasnya dengan lebih efektif.
Beliau berkata semua sokongan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang memberi mesej bahawa ahli politik bersatu demi isu hak asasi rakyat.