
Bekas perdana menteri itu berkata beliau bimbang penderitaan penduduk yang dijangka bertambah menjelang musim sejuk selepas berdepan serangan dan kekejaman Israel.
Menurutnya, sebelum ini Aman Palestin telah menyediakan RM10 juta untuk membantu rakyat Palestin, Yaman, Syria dan Lebanon bagi mengurangkan kesengsaraan mereka namun telah dibekukan SPRM susulan siasatan ke atasnya.
Tegasnya, SPRM seharusnya membenarkan wang itu disalurkan kepada rakyat Palestin dan penduduk lain di Semenanjung Arab bagi menghadapi musim sejuk walaupun NGO berkenaan masih dalam siasatannya.
“Jika SPRM sangsi sama ada wang tersebut akan sampai kepada rakyat Palestin atau tidak, mereka boleh hantar pegawai mereka mengiringi wakil Aman Palestin yang di amanah menyalur wang tersebut kepada rakyat Palestin.
“Jika tidak, SPRM turut sama mendera rakyat Palestin yang memang sedang menderita akibat deraan Israel,” katanya dalam hantaran di aplikasi X.
SPRM sebelum ini membekukan 41 akaun bank milik Aman Palestin dan beberapa entiti lain berjumlah RM15.8 juta susulan siasatan ke atas dakwaan penyalahgunaan dana sumbangan berjumlah RM70 juta.
Isnin lalu, Aman Palestin memberi tempoh tiga hari kepada SPRM menyahbeku akaunnya atau berdepan tindakan perundangan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki bagaimanapun berkata agensi anti rasuah itu tidak akan melayan permintaan berkenaan kerana mereka bertindak mengikut lunas undang-undang.