Saya tak makan diherdik, kata Zaliha

Saya tak makan diherdik, kata Zaliha

Menteri kesihatan menerima semua pandangan dalam perbahasan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.

Dr Zaliha Mustafa berkata beliau menyedari ramai prihatin dan sayang kepada generasi masa depan berhubung RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata beliau menerima kritikan beberapa Ahli Parlimen yang tidak bersetuju keputusan peruntukan berkaitan generasi penamat rokok (GEG) digugurkan.

Zaliha berkata, beliau menerima semua pandangan dalam perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.

“Pelbagai rencam perbahasan saya lihat semalam. Kadang-kadang lihat suhu agak panas semalam dalam perbahasan sehingga ada yang membuat provokasi dan mengherdik saya pun ada.

“Tetapi saya okay, saya memang jenis boleh menerima pandangan. Yang penting tak makan diherdik,” katanya semasa menggulung RUU itu di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Zaliha berkata beliau menyedari ramai prihatin dan sayang kepada generasi masa depan berhubung RUU tersebut.

“Ramai kecewa GEG digugurkan. Perlu ingatkan mahu lahirkan generasi tak merokok tetapi sama penting tak lahirkan generasi rasuah, generasi tak sakau dan pemfitnah.

“Tak mahu lahirkan (generasi) yang membuta tuli wala’ kepada pemimpin,” katanya.

Terdahulu, RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 diluluskan menerusi undian suara di Dewan Rakyat.

Seramai 27 Ahli Parlimen membahaskan RUU itu selepas dibentangkan semalam.

Selasa lalu, Zaliha membentangkan RUU itu untuk bacaan kali pertama dengan peruntukan berkaitan GEG digugurkan.

Peruntukan GEG itu melarang penjualan produk tembakau, bahan merokok, merokok produk tembakau dan merokok produk pengganti tembakau bagi orang yang lahir pada 1 Jan 2007 dan seterusnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.