Anwar ‘setuju’ rombakan Kabinet sebelum 2024

Anwar ‘setuju’ rombakan Kabinet sebelum 2024

Jawapan berseloroh itu diberikan selepas perdana menteri memanggil seorang kanak-kanak bertanya soalan mewakili media mengenai bila rombakan akan dilakukan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ditemui selepas solat Jumaat di Surau Al-Amin, Putrajaya.
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim “setuju” rombakan Jemaah Menteri dibuat sebelum 2024.

Jawapan berseloroh itu diberikan selepas beliau memanggil seorang kanak-kanak, Akmal Afif Yassier Arafat, 12, untuk bertanya soalan mewakili media mengenai bila rombakan itu akan dilakukan.

“Bila rombakan Kabinet,” soal Akmal kepada Anwar yang menimbulkan gelak tawa wartawan.

Anwar kemudian bertanya kepada Akmal bila ia dicadang akan dilakukan.

“(Saya cadang) 2024,” kata Akmal yang kemudian disoal semula oleh Anwar, “sebelum atau selepas 2024?”

“Dia jawab sebelum (2024) saya setuju,” kata Anwar selepas solat Jumaat di Surau Al-Amin.

Rombakan Jemaah Menteri diuar-uarkan bakal berlaku termasuk pelantikan menteri kesihatan baharu, menurut dua sumber.

Satu sumber peringkat tinggi PKR yang tidak mahu dinamakan berkata alasan di sebalik penyingkiran Dr Zaliha Mustafa daripada portfolio itu tidak jelas.

Menurutnya, jika Zaliha disingkirkan, jawatan itu mungkin diambil alih Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, manakala Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad pula mengambil alih portfolio pendidikan.

Sementara itu, sumber tersebut berkata Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof daripada Amanah mungkin dilantik ke jawatan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup yang dikosongkan sejak kematian Salahuddin Ayub Julai lalu, bagi menyuntik “tenaga baharu” ke dalam Jemaah Menteri.

Spekulasi rombakan Jemaah Menteri akan berlaku disebut-sebut, lebih-lebih lagi selepas Anwar sendiri mengakui pada Oktober bahawa beliau mempertimbangkannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.