Rombakan Kabinet tidak lama lagi?

Rombakan Kabinet tidak lama lagi?

Sumber berkata ada kemungkinan besar menteri kesihatan baharu bakal dilantik.

Spekulasi mengenai rombakan Jemaah Menteri diperkatakan khususnya sejak Oktober selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri mengakui mempertimbangkan untuk melakukannya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Rombakan Jemaah Menteri diuar-uarkan bakal berlaku termasuk pelantikan menteri kesihatan baharu, menurut dua sumber.

Satu sumber peringkat tinggi PKR yang tidak mahu dinamakan berkata alasan di sebalik penyingkiran Dr Zaliha Mustafa dari portfolio itu tidak jelas.

“Namun difahamkan, antara lain beliau dan perdana menteri (Anwar Ibrahim) tidak senada dalam cara kementerian itu dikendalikan,” kata sumber itu kepada FMT.

Menurutnya, sekiranya Zaliha disingkirkan, jawatan itu berkemungkinan diambil alih Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, manakala Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad pula mengambil alih portfolio pendidikan.

“Portfolio pendidikan milik PKR, dan mengikut struktur sedia ada, Nik Nazmi nampak yang paling sesuai untuk peranan itu.”

Sementara itu, sumber itu berkata Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof dari Amanah mungkin dilantik ke jawatan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup yang dikosongkan sejak kematian Salahuddin Ayub pada Julai, bagi menyuntik “tenaga baharu” ke dalam Jemaah Menteri.

“Pelantikan menteri kewangan kedua tidak mungkin berlaku, kerana Anwar yang juga menteri kewangan sudahpun mempunyai dua timbalan menteri.”

Sumber itu berkata, rombakan Jemaah Menteri ini akan melihat beberapa timbalan menteri bertukar portfolio.

Sementara itu, sumber dalam kerajaan berkata pelantikan menteri kewangan kedua tidak boleh diketepikan, tetapi berpendapat sekiranya ada akan melibatkan “calon dari luar”.

“Kemungkinan orangnya dari kalangan teknokrat dan bukannya Ahli Parlimen.”

Sumber yang enggan dinamakan itu turut berkata Zaliha berkemungkinan nama paling besar disingkirkan daripada Jemaah Menteri.

“Rombakan dijadualkan berlaku minggu depan, selepas pilihan raya kecil Kemaman (pada Sabtu).”

Spekulasi bahawa rombakan Jemaah Menteri akan berlaku telah disebut-sebut, lebih-lebih lagi selepas Anwar sendiri mengakui pada Oktober bahawa beliau mempertimbangkannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.