Kenapa tak boleh runding terus dengan PM, Takiyuddin persoal isu peruntukan

Kenapa tak boleh runding terus dengan PM, Takiyuddin persoal isu peruntukan

Ketua Whip Perikatan Nasional itu berkata rundingan dapat mencapai keputusan berkesan jika dirunding secara terus dengan Anwar Ibrahim.

Takiyuddin Hassan berkata beliau sudah beberapa kali mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berhubung isu peruntukan namun gagal mencapai sebarang persetujuan.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Perikatan Nasional (PN) berkata rundingan peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang akan mencapai keputusan berkesan jika membabitkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan Ketua Pembankang Hamzah Zainudin.

Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan mendakwa rundingan dengan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof yang diberi mandat oleh kerajaan gagal mencapai persetujuan sehingga pihaknya berhenti berunding.

“Tapi perundingan itu tidak berjaya, itu sajalah. Kenapa (perlu berjumpa) dengan TPM II (Fadillah)? Bukan saya kata tak boleh tapi tidak ada keputusan baik.

“Dulu masa Ismail Sabri (Yaakob) jadi perdana menteri, beliau sendiri berunding terus dengan ketua pembangkang (Anwar), jadi boleh buat keputusan lebih berkesan,” katanya ketika ditemui di Kompleks Kota Darul Naim menurut Harian Metro.

Bulan lalu, Takiyuddin berkata PN tidak akan meneruskan rundingan dengan wakil kerajaan mengenai peruntukan sama rata Ahli Parlimen pembangkang kerana Fadillah meminta mereka menulis surat kepada kerajaan dengan menyatakan jaminan tertentu.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kota Bharu itu tidak menjelaskan jaminan atau aku janji diminta oleh pemerintah.

September lalu, Fadillah mendedahkan Ahli Parlimen pembangkang tidak menghantar surat memohon peruntukan di sebalik pelawaan kerajaan.

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga setiausaha agung PAS berkata peruntukan untuk wakil rakyat pembangkang sepatutnya tidak perlu melalui rundingan kerana ia terkandung dalam manifesto kerajaan.

“Kita sudah bangkitkan banyak kali dalam Parlimen…jadi saya rasa tak timbul dah soal perundingan dan sebagainya kerana ia adalah sewajarnya dimulakan tanpa apa-apa alasan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.