
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berkata, ketika ini kebanyakan kerusi DUN dan Parlimen di empat negeri ditadbir pembangkang dikuasai PAS dan tidak mungkin Umno diberikan banyak peluang untuk bertanding.
“Jika Umno tidak bersama PAS, pastinya kita boleh bertanding di tempat mereka dalam tempoh empat tahun lagi pada pilihan raya akan datang.
“Umno boleh ambil alih Parlimen dan DUN sekiranya mereka tidak menjalankan tugas dan harapan rakyat,” katanya ketika meninjau tapak projek Kolej Komuniti Parlimen Pontian di Kampung Parit Haji Abdul Rahman, Benut, menurut Utusan Malaysia.
Sementara itu, beliau yang juga timbalan ketua Umno Johor berkata PAS pernah menyebut mahu menggantikan Umno sebagai parti membela orang Melayu dan Islam sebelum ini.
“PKR tidak pernah sebut hendak menggantikan Umno. Begitu juga dengan Bersatu pun ada sebut perkara itu.
“Perkataan mengganti Umno itu merupakan persaingan antara Umno, PAS dan Bersatu,” katanya.
Terdahulu, FMT melaporkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Umno bakal berkubur pada PRU16 jika terus bekerjasama dengan DAP, merujuk keputusan PRK Kemaman yang menyaksikan undi diterima parti itu terus merosot.
Katanya, pemisahan Umno daripada DAP antara usaha boleh menyelamatkan parti Melayu itu, selain kembali kepada perjuangan untuk bangsa, negara dan agama.
Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata parti itu tidak menolak kerjasama dengan Umno di sebalik sejarah “pahit” hubungan mereka, susulan cadangan penyatuan untuk mengambil alih pentadbiran Putrajaya dibangkitkan Isham Jalil.
Bagaimanapun, Presiden Umno Zahid Hamidi menggesa parti itu supaya “menoktahkan” mimpi bersama Umno kerana sejarah pahit sebelum ini mengakibatkan Umno nekad tidak menjalinkan semula kerjasama dengan PAS yang kini bersama Perikatan Nasional (PN).