
Amir Hamzah berkata, pengalaman dimiliki terutamanya paling terkini menerajui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selaku ketua pegawai eksekutif sejak Mac 2021 akan digunakan dalam usaha memperkasakan pentadbiran di Kementerian Kewangan (MoF).
Beliau berkata, fokus utamanya ialah membantu Perdana Menteri, Anwar Ibrahim membangunkan semula ekonomi di bawah kerangka Malaysia Madani.
“Saya yakin dengan sokongan kuat semua pegawai di kementerian serta agensi berkaitan, kita mampu kukuhkan ekonomi dan terus bangkit, cuma paling penting, saya dan pasukan perlu faham apa transformasi yang perlu dilakukan untuk mencapai sasaran ditetapkan,” katanya selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara.
Terdahulu, Amir Hamzah yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara di depan Yang Dipertua Dewan Negara, Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Parlimen pada sebelah pagi, antara lima menteri baharu mengangkat sumpah jawatan di depan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Empat lagi menteri baharu dalam rombakan Jemaah Menteri ialah Dr Dzulkefly Ahmad yang kembali menerajui Kementerian Kesihatan, Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo (menteri digital), Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong (menteri sumber manusia) dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Johari Ghani (menteri perladangan dan komoditi).
Sementara itu, Sim berkata, beliau akan bekerja keras bagi memastikan kebajikan pekerja terus terjamin, selain meningkatkan kadar produktiviti, menambah peluang pekerjaan dan pembangunan bakat berkemahiran demi menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Saya akan gunakan pengalaman sepanjang jadi timbalan menteri di MoF, yang mana kita ada beberapa kerangka dasar dan pengurusan fiskal untuk pembangunan ekonomi melalui kerangka Madani, jadi kita akan lihat aspek itu untuk khidmat saya di kementerian baharu ini.”
Johari pula berkata, beliau perlu mempunyai pemikiran di luar kotak untuk menerajui kementerian itu.
Ini kerana, katanya, Kementerian Perladangan dan Komoditi adalah portfolio agak mencabar yang merupakan antara komponen ekonomi negara.
“Contohnya, dalam konteks pertanian dalam negara kita, pertanian negara dalam 8.9% daripada kita punya GDP (keluaran dalam negara kasar), manakala perladangan dan komoditi ini lebih 50% daripada sumbangan pertanian.
“Banyak perkara yang saya akan kongsi dengan kementerian ini nanti. Kementerian ini adalah pertanian yang berbentuk skala besar, jadi itu satu cabaran untuk kita tengok banyak perkara.”
Dzulkefly berkata, beliau akan fokus melunaskan program transformasi kesihatan ketika dalam pentadbiran terdahulu, antaranya transformasi kesihatan digital dan pembiayaan kesihatan.
“Saya juga melihat kepentingan penjagaan akut, isu-isu dan aduan berkaitan hospital dan pesakit melibatkan waktu menunggu yang perlu saya tangani, di samping kebajikan pasukan kesihatan itu sendiri daripada isu petugas kontraknya, pegawai farmasi dan keseluruhannya, selain tumpu pada penjagaan penjagaan galakan dan pencegahan NCD (penyakit tidak berjangkit).”