
Dzulkefly pernah menjadi menteri kesihatan era kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas PRU14, namun tidak dilantik ke Jemaah Menteri ketika Anwar menerajui kerajaan selepas PRU15.
“Kementerian Kesihatan terbeban banyak masalah, sebahagian diwarisi, sebahagian memenuhi tuntutan rakyat untuk kesihatan lebih baik. Kita harap dia dapat jalankan tugas dengan baik.
“Pengalaman dia diperlukan. Saya percaya dia boleh beri fokus lebih kukuh di kementerian,” kata Anwar pada sidang media selepas pengumuman rombakan Jemaah Menteri.
Dzulkefly dilantik menggantikan Dr Zaliha Mustafa yang dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Sementara itu, Anwar berkata tiada lagi keperluan melakukan rombakan Jemaah Menteri sekiranya tugas dijalankan dengan baik.
“Saya harap kalau keadaan prestasi baik memuaskan dan tiada tekanan atau masalah baru, seperti digital…saya tak fikir harus ada apa-apa perubahan, terus ada rencana empat tahun hingga PRU,” katanya.
Rombakan Jemaah Menteri menyaksikan jumlah keseluruhan anggota pentadbiran meningkat kepada 60, berbanding 55 orang sebelum ini.
Bilangan menteri meningkat kepada 31 orang berbanding 28, manakala jumlah timbalan menteri menjadi 29 orang daripada 27.
Semua mereka yang baharu dilantik dijadual angkat sumpah jawatan di Istana Negara, pada 2.30 petang.