Terima harta curi warga emas lebih RM515,000, peniaga mengaku tak salah

Terima harta curi warga emas lebih RM515,000, peniaga mengaku tak salah

Wang itu didakwa berada dalam akaun CIMB Bank yang didaftarkan atas nama tertuduh dan dia tahu serta ada sebab mempercayai ia harta curi.

Mohd Fairus Md Noor dibawa ke Mahkamah Majistret Muar untuk menghadapi tuduhan hari ini. (Gambar Bernama)
MUAR:
Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas 10 pertuduhan menerima harta curi lebih RM515,000 milik seorang wanita warga emas antara 2018 hingga 2019.

Mohd Fairus Md Noor, 36, didakwa secara tidak jujur menerima wang berjumlah RM515,523.80 kepunyaan Manjeet Kaur Syran Singh, 72, menerusi 10 transaksi di CIMB Bank Berhad, Jalan Sulaiman di sini, antara 21 Nov 2018 hingga 26 Dis 2019.

Wang itu didakwa berada dalam akaun CIMB Bank yang didaftarkan atas nama Fairus dan lelaki itu mengetahui serta ada sebab mempercayai harta terbabit adalah harta curi.

Pertuduhan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Fatin Dalilah Khalid membenarkan tertuduh diikat jamin RM17,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Jan depan untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.