
Timbalan Menteri Ekonomi, Hanifah Hajar Taib, berkata semua jawatankuasa itu akan memperincikan mekanisme pelaksanaan Dasar Gaji Progresif bagi memastikan setiap program sejajar hala tuju dan strategi ditetapkan.
“Ini termasuk memperincikan panduan kenaikan gaji, mekanisme kawal selia pemberian insentif dan pengauditan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Negara hari ini.
Dasar Gaji Progresif akan dimulakan secara rintis pada Jun 2024 melibatkan 1,000 syarikat dengan peruntukan tidak melebihi RM50 juta.
“Pemilihan syarikat akan dibuat berdasarkan faktor seperti di mana kenaikan gaji pekerja lebih diperlukan dan mewakili sektor serta syarikat yang bersedia melaksanakan Dasar Gaji Progresif.
“Pelaksanaan secara menyeluruh dasar berkenaan dan peruntukan yang akan disediakan bagi tujuan pelaksanaan menyeluruh akan diputuskan selepas penilaian impak projek rintis dilaksanakan pada September 2024.”
Katanya, Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif akan dibahaskan 14 Dis ini selepas dibentangkan bulan lalu.
Mengenai pembangunan Sistem Pangkalan Data Utama (Padu), Hanifah berkata, kemajuannya di tahap 93.3% setakat 5 Dis lalu.
“Sesi ujian penerimaan pengguna dijalankan dari 28 Nov sehingga 5 Dis. Seterusnya, sesi pengujian penilaian postur keselamatan dan prestasi dijangka mulai esok.”
Katanya, Sistem Padu akan dibuka kepada pengguna mulai 1 Jan hingga 31 Mac depan bagi tujuan kemas kini dan pengesahan maklumat individu, manakala bermula 1 April depan, data dan maklumat dalam sistem itu akan dianalisis berdasarkan kes gunaan untuk menentukan kumpulan sasar bagi penyasaran semula subsidi.
Beliau berkata, mekanisme penyasaran semula subsidi menggunakan data Padu sebagai asas dalam menentukan kumpulan sasar dijangka diumumkan kerajaan pertengahan tahun depan.
Dalam perkembangan lain, Hanifah berkata, kerajaan berhasrat meneruskan penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) yang dijadualkan Mac depan.
Katanya, penganjuran KEB 2024 bertujuan menyemak semula dasar sedia ada serta menetapkan hala, dasar baharu dan pelan tindakan penyelesaian terhadap isu ketidakseimbangan sosioekonomi dalam kalangan etnik bagi membangunkan agenda Bumiputera yang adil, saksama dan inklusif.