Mesin layan diri usaha MAIWP-Kementerian Ekonomi tingkat pendapatan asnaf

Mesin layan diri usaha MAIWP-Kementerian Ekonomi tingkat pendapatan asnaf

Program Inisiatif Pendapatan Rakyat – Inisiatif Usahawan Makanan sasar pendapatan mampan bantu asnaf dan usahawan kecil keluar daripada kemiskinan.

Akmal Nasrullah Nasir n Zulkifli Hassan
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Nasir (tengah) bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hassan pada majlis pelancaran Inisiatif IPR-INSAN. (Gambar MAIWP)
PETALING JAYA:
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menjalin kerjasama strategik bersama Kementerian Ekonomi bagi memperkasa golongan asnaf dan usahawan kecil dengan sasaran pendapatan mampan melalui mesin layan diri makanan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hassan, berkata Inisiatif Pendapatan Rakyat – Inisiatif Usahawan Makanan (IPR-INSAN) itu berjalan menerusi penyediaan mesin berkenaan serta subsidi sewa penuh 24 bulan, manakala MAIWP menyediakan bantuan modal permulaan kepada usahawan asnaf yang layak.

“MAIWP bukan sekadar menyalurkan bantuan zakat secara rutin, sebaliknya mahu melahirkan lebih ramai usahawan asnaf yang mampu berdikari dan keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya dalam kenyataan susulan perasmian program itu bersama Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Nasir.

Zulkifli berkata, Masjid Wilayah Persekutuan juga turut dijadikan lokasi baharu penempatan mesin layan diri itu sebagai usaha memperkukuh fungsi masjid yang tidak terhad kepada pusat ibadah.

Dalam pada itu, Akmal berkata pelaksanaan IPR-INSAN telah menunjukkan hasil positif dan boleh diukur.

Katanya, sebahagian peserta program berjaya mencatat jualan antara RM4,000 hingga RM10,000 sebulan melalui penempatan mesin vending di lokasi strategik seperti stesen MRT, Pusat Transformasi Bandar (UTC), dan premis tumpuan awam.

“Sehingga 5 Mei 2026, sebanyak 1,125 unit mesin layan diri telah dipasang di seluruh negara, dengan 712 peserta aktif mencatatkan hasil jualan kumulatif melebihi RM2,000 sejak mula beroperasi,” katanya.

Katanya, setakat Mac 2026, program berkenaan turut merekodkan jualan keseluruhan RM20.46 juta.

“Ini membuktikan IPR-INSAN bukan sekadar program bantuan, tetapi satu peluang untuk rakyat berniaga, membina pendapatan sendiri, dan keluar daripada kemiskinan dengan lebih berdikari.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.