201 ditahan, aneka dadah bernilai RM1.5 juta dirampas

201 ditahan, aneka dadah bernilai RM1.5 juta dirampas

Dalam satu serbuan di sebuah rumah, polis menemukan 30,000 biji pil kuda.

Polis menjalankan Op Tapis Bersepadu di Kelantan bermula 21 Dis hingga semalam.
KOTA BHARU:
Polis menahan 201 individu dan merampas pelbagai dadah bernilai lebih RM1.5 juta menerusi Op Tapis Bersepadu di Kelantan, bermula 21 Dis hingga semalam.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Mohd Ali Tamby berkata semua ditahan berusia lingkungan 18 hingga 68 tahun.

Dadah yang dirampas antaranya pil yaba, ganja, syabu, pil psikotropik, Erimin 5, dan kodein.

“Dua lelaki berusia 29 dan 36 tahun antara ditahan kerana memiliki 2,000 biji pil kuda berhampiran sebuah kedai makan di Kampung Pendek Batu 5, Jalan Salor kira-kira 5 petang semalam.

“Hasil penahanan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Padang Embon, Pasir Mas dan menemukan 30,000 biji pil kuda,” katanya dalam kenyataan.

Ali berkata pil kuda yang dirampas dalam kedua-dua serbuan dianggar bernilai RM197,230.

Kedua-dua lelaki itu negatif terhadap dadah, namun seorang memiliki dua rekod berkaitan dadah.

“Kedua-duanya direman hingga 31 Dis ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.