
Di Kelantan, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,991 orang daripada 561 keluarga setakat 9 pagi ini, berbanding 1,599 orang daripada 441 keluarga malam tadi.
Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Kelantan, sebanyak 21 PPS dibuka melibatkan empat jajahan, iaitu Pasir Mas (lima PPS), Tanah Merah (lapan PPS), Gua Musang dan Jeli masing-masing empat PPS.
Banjir gelombang ketiga di Terengganu pula semakin buruk apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS di enam daerah setakat 8 pagi ini meningkat kepada 2,111 orang daripada 612 keluarga, berbanding 826 orang daripada 253 keluarga malam tadi.
Menurut sekretariat JPBN Terengganu, Kemaman menjadi daerah terbaru dilanda banjir dengan seramai 349 mangsa daripada 110 keluarga terpaksa dipindahkan ke empat PPS malam tadi.
Dungun menjadi daerah paling terjejas dengan seramai 1,149 mangsa daripada 299 keluarga ditempatkan di 21 PPS, manakala di Hulu Terengganu, 393 mangsa daripada 148 keluarga berlindung di 10 PPS.
Selain itu, di daerah Setiu, seramai 189 mangsa daripada 48 keluarga berteduh di lapan PPS; di Marang, 12 mangsa daripada tiga keluarga berada di PPS Dewan Sivik Wakaf Tapai; manakala di Besut, seramai 19 keluarga daripada empat keluarga ditempatkan di PPS Surau Perumahan Bukit Cina.
Menurut laman sesawang Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran, paras air sungai di lapan stesen utama di lima daerah negeri ini mencapai paras bahaya.
Di Hulu Terengganu, stesen terlibat termasuk Sungai Peneh di Felda Mengkawang; Sungai Berang di Kampung Menerong; dan Sungai Tersat di Kampung Sekayu. manakala di daerah Setiu, stesen Sungai Nerus di Kampung Langkap.
Di daerah Dungun pula, stesen terlibat termasuk Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau. Di daerah Kemaman, Sungai Tebak di Jambatan Tebak dan Sungai Kemaman di Jambatan Kg Air Putih terlibat.
JPBNT menasihatkan penduduk di kawasan berisiko supaya sentiasa berwaspada dan segera berpindah sekiranya diarah pihak berkuasa.
Di Pahang, daerah Raub menjadi kawasan terbaru dilanda banjir hari ini, sekali gus menyaksikan pertambahan mangsa banjir kepada 230 orang daripada 55 keluarga yang ditempatkan di lima PPS, berbanding 75 orang daripada 19 keluarga malam tadi.
Menurut aplikasi Info Bencana JKM, sebanyak empat PPS dibuka di Raub, iaitu Balai Raya Kampung Pamah Kulat yang menempatkan 55 mangsa banjir; Surau Kampung Peruas (65 orang); Rumah Pertanian Kampung Pamah Rawas (15 orang); Balai Raya Kampung Pamah Rawas (20 orang), manakala di Jerantut, PPS SK Felda Kota Gelanggi 1 menempatkan 75 mangsa banjir.
Sementara itu, paras air di stesen Kuala Medang, Lipis dan Sungai Lembing, Kuantan dicatatkan melepasi paras bahaya.
Di Negeri Sembilan, Pegawai Operasi APM Seremban Lt (PA) Md Marisa Aminuddin berkata, banjir sudah beransur pulih. Seramai 55 mangsa daripada 12 keluarga yang ditempatkan di PPS SK Sungai Machang, Lenggeng, Nilai dijangka dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing tengah hari ini.